PRESTASI amat merisaukan dialami Sabah FC II dalam saingan Piala MFL 2024/25 kerana mereka masih belum meraih sebarang mata selepas lima perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, persembahan benteng pertahanan turut membimbangkan kerana skuad Sang Badak sudah dibolosi sebanyak 21 kali dengan terdapatnya jurang besar berbanding pasukan lain.
Sekiranya masalah tersebut berterusan, pasukan Borneo itu nampaknya perlu membuat rombakan besar-besaran bagi memberi saingan pada separuh kedua musim.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila mahu keluar bos?' Instagram pengarah Sabah FC diserang fans Sang Badak
BACA LAGI: Penutup cerita sedih Ramon Machado, fans Sabah desak pihak pengurusan pula main untuk Sang Badak
Skuad Sang Badak kini berada di kedudukan tercorot Piala MFL selepas lima perlawanan.
Percaturan itu seperti sudah bermula selepas baru-baru ini, khabar angin mula bertiup yang mengatakan terdapat pemain akan meninggalkan Sabah FC II dalam masa terdekat.
Ini selepas bintang pasukan, Rozaimi Abd Rahman bertindak menurunkan kesemua foto semasa beraksi untuk skuad Sang Badak dalam kempen Piala MFL musim ini.
Perkara itu pada awalnya disedari akaun Facebook Sabah FC Transfer News yang sudah tentu aneh dengan keputusan berkenaan, lebih-lebih lagi dengan pemain tersebut memainkan peranan penting musim ini.
Meskipun masih belum mencetak sebarang gol buat pasukan kendalian Alto Linus itu, pengalamannya beraksi di pentas lebih tinggi pasti diharapkan membawa perbezaan bagi mereka.
Tindakan Rozaimi menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada penyokong.
Sebelum ini, Rozaimi sah menyertai Sabah FC II dengan harapan mereka dapat memperbaiki kedudukan musim lalu apabila kelab itu hanya menduduki tangga keenam Kumpulan A.
Harapan cukup cerah mula diberikan sepanjang sesi pramusim dengan pemain berusia 31 tahun itu pernah menjaringkan hatrik ketika berdepan Keningau FC.
Tetapi, dengan aksi semakin sengit dalam Piala MFL, bekas penyerang sayap Harimau Malaya berkenaan masih belum berjaya menyumbang jaringan buat pasukan.
Ini sekali gus menyukarkan harapan penyokong untuk menyaksikan kepulangannya ke prestasi sebenar apabila dia pernah meraih gelaran Neymar Malaysia satu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram