Penutup cerita sedih Ramon Machado, fans Sabah desak pihak pengurusan pula main untuk Sang Badak


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Ramon gagal membantu Sabah bangkit menentang Terengganu dalam Piala FA.

HASRAT Sabah FC untuk bangkit dalam perlawanan kedua Piala FA tidak kesampaian apabila tewas di tangan Terengganu 0-3 dalam aksi di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu menjadikan keputusan agregat 0-7.

Terengganu yang hadir dengan keyakinan yang sangat tinggi telah mengawal keseluruhan permainan semasa aksi separuh masa pertama.

Jaringan voli pada minit ke-10 oleh Safawi itu terus membunuh semangat pemain Sabah yang memasang impian untuk bangkit daripada ketinggalan agregat 0-4 pada perlawanan pertama di Terengganu.

BACA LAGI: Dapat tajaan hampir RM10 juta, institusi perbankan hampir pasti penaja utama Sang Kenari?

BACA LAGI: MFL semakin huru-hara, Dr Pekan setuju FAM jaga liga pembangunan

Walaupun perlawanan ini merupakan aksi terakhir Ramon Machado bersama Sabah, ia tidak memberi kesan kepada penyokong Sang Badak yang dilihat protes dengan pihak pengurusan.

Ini kerana dalam keadaan pasukan Sabah memerlukan sokongan padu daripada pemain ke-12, stadium keramat mereka tidak dipenuhi oleh penyokong seperti biasa.

Selepas hampir setengah jam perlawanan, permainan kedua-dua kembali seimbang untuk menyerang ke kubu pertahanan lawan masing-masing.

Namun sebelum tamat separuh masa pertama, pemain sayap Terengganu, Akhyar berjaya menjaringkan gol hasil tolakan bola ke dalam gawang lawan selepas menerima baik hantaran Marin Pilj pada minit ke-43 perlawanan.

Bersambung babak kedua perlawanan, Sabah bermula garang apabila melakukan beberapa asakan ke kubu pertahanan Terengganu dengan Ramon Machado mendapat beberapa peluang untuk menguji penjaga gol Sang Penyu.

Namun begitu, Sabah tampak tidak mampu melakukan apa-apa dengan Terengganu pula mula memperlahankan tempo perlawanan untuk tidak dibolosi oleh barisan serangan Sang Badak.

Sabah yang mahukan Ramon menjaringkan gol kali terakhir buat Sang Badak tidak kesampaian selepas segala percubaan daripada penyerang Brazil itu berjaya dihalang oleh Syed Nasrulhaq.

Melihat pelbagai usaha yang telah diberikan oleh Ramon dalam perlawanan terakhirnya itu, penyokong Sabah mahu pihak pengurusan menggantikan pemain kesayangan ramai selepas melepaskan peledak utama Sang Badak.

"Come on Sabah FC, ganti si Ramon sama si Joh Wid, mana tahu Joh wid boleh gol tujuh," kata Jay Ambrose.

"Harap apa-apa masalah Sabah hadapi, dalaman atau luar dapat diselesaikan cepat," ujar Jason Jeremiah.

"Harap pengurusan insaf," luah Lian Chue.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, pemain Terengganu, Marin Pilj menjaringkan gol sepakan percuma yang cantik untuk menewaskan Khairul Fahmi sekali gus menambah duka Sabah.

Keputusan kekal 0-3 dengan Terengganu berjaya layak ke separuh akhir dengan agregat 8-0 sekali gus merekodkan kemenangan terbesar buat anak-anak buah Tomislav Steinbruckner pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram