'Faham budaya lokal hanya 'advantage' kecil, jurulatih luar yang tepat boleh bawa negara ke Piala Dunia'


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Masa depan skuad kebangsaan masih tidak dijawab selepas Pan-gon tidak lagi membimbing mereka selepas ini. — Facebook/FAM

PEMERGIAN Kim Pan-gon daripada skuad kebangsaan menimbulkan persoalan mengenai pengganti terbaik meskipun posisinya itu kini diisi pembantunya, Pau Marti Vicente.

Meskipun jurulatih tersebut memiliki pengalaman cukup hebat di Eropah, dia yang tidak pernah membimbing mana-mana pasukan senior dilihat masih belum sesuai untuk memikul peranan berkenaan untuk jangka masa panjang.

Jadi, dalam menjawab persoalan itu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris tampil memberikan cadangan bahawa seorang pengendali dari benua Eropah, Asia atau Amerika Latin diperlukan.

BACA LAGI: Pesaing Liga China cuba 'hijack' penghijrahan Kim Pan-gon ke Ulsan

BACA LAGI: Tak adil samakan pencapaian Pan-gon dengan Cheng Hoe

Pandangan itu sememangnya memiliki potensi untuk membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi memandangkan pengalaman dimiliki mereka jauh berbeza berbanding jurulatih tempatan.

Bagaimanapun, kehadiran pengendali luar, terutamanya dari Eropah dan Amerika Selatan tidak menjanjikan kejayaan kerana skuad kebangsaan pernah mengambil keputusan itu pada 2017, iaitu ketika bersama Nelo Vingada.

vingada1-800x520

Pelantikan Nelo Vingada tidak membawa sebarang hasil seperti mana diharapkan.

Kehadirannya yang pernah dianggap 'The Professor' tidak membawa pulangan berbaloi, malah dia hanya menjadikan kedudukan ranking FIFA negara semakin merosot.

Pengalaman sedemikian sudah tentu membuatkan penyokong sedikit berasa gusar akan kemungkinan seseorang dari dua benua yang dicadangkan Tunku Ismail itu.

Tetapi, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, terdapat peluang cerah bagi Harimau Malaya dikendalikan jurulatih luar negara selepas ini.

Meskipun terdapat pandangan pengendali tempatan lebih memahami budaya lokal, perkara demikian tidak membawa perbezaan ketara sekiranya perbandingan dibuat.

Kim-Pan-gon

Pengunduran Pan-gon pasti menjadi tamparan terhadap FAM. Facebook/FAM

"Mungkin itu hanya sedikit kelebihan sahaja kita peroleh jika ambil jurulatih tempatan. Kayu ukur yang sudah ditetapkan Pan-gon agak tinggi, namun masih gagal bawa negara layak ke Piala Dunia.

"Jadi, saya percaya akan ada jurulatih luar yang mampu bimbing Harimau Malaya untuk layak beraksi di Piala Dunia 2030 nanti jika kita tidak tersilap memilih jurulatih dan pembantunya sekali," katanya kepada Majoriti.

Kali terakhir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kepercayaan terhadap pengendali tempatan adalah semasa bersama Tan Cheng Hoe dari 2018 sehingga 2022.

Kemasukannya juga tidaklah begitu mengecewakan memandangkan dia berjaya menerapkan gaya permainan positif selain mara ke pentas akhir Piala AFF 2018.

FB_IMG_1573661955920

Cheng Hoe meninggalkan kenangan cukup bermakna buat peminat. Facebook/FAM

Selepas itu, badan induk bola sepak negara berkenaan melantik Pan-gon dengan pengalamannya di Korea Selatan dan Hong Kong menyaksikan sebab di sebalik kehadirannya.

Dalam pada itu, Pekan berpendapat, keputusan akhir hanya akan dibuat FAM meskipun terdapat cadangan daripada penyokong dan Tunku Ismail mengenai calon sesuai untuk mengisi kekosongan itu.

"Paling penting peletakan jawatan Pan-gon itu menyedarkan dan menginsafkan mereka bahawa siapa pun ketua jurulatih skuad kebangsaan nanti, kebebasan dan ketelusan dalam pelbagai perkara berkaitan, biarlah ketua jurulatih itu yang bertanggungjawab sepenuhnya.

"Pada akhirnya nanti sama ada sasaran itu tercapai atau pun tidak, maka yang terpaksa meletak jawatan atau melangkah pergi adalah ketua jurulatih itu sendiri," katanya lagi.

Berdasarkan perkembangan semasa, Pau Marti akan membimbing Harimau Malaya sehingga saingan Piala AFF akan datang sebelum FAM membuat keputusan berhubung masa depannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram