Penjaga gol warisan ke JDT sudah dikesan, rupanya pernah sarung jersi Real Madrid


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Bekas pemain Akademi Real Madrid ini memiliki pertalian dengan Malaysia menerusi belah ibunya. — Instagram/DiegoAltube

SEMENJAK Johor Darul Ta'zim (JDT) dikhabarkan akan membuat rombakan secara besar-besaran, pelbagai nama pemain bola sepak yang berpangkalan di luar negara mula dikaitkan dengan Harimau Selatan.

Misalnya, sebelum ini Majoriti melaporkan bekas bintang Atletico Madrid iaitu Hector Hernandez dikhabarkan akan menyertai juara bertahan Liga Super itu selepas kontraknya bersama GD Chaves akan tamat pada 1 Julai 2024.

Khabar angin berkenaan disambut baik oleh penyokong susulan statistik pemain kelahiran Sepanyol itu yang menjaringkan 81 gol dalam 282 penampilan dalam liga teratas Eropah membuktikan Hernandez calon tepat mengisi bahagian serangan JDT.

BACA LAGI: Dengarnya 6 pemain baharu sudah lapor diri, ada bintang JDT tunggu masa ditunjukkan jalan keluar menjelang Ogos

BACA LAGI: Bakal jadi pemain kedua termahal JDT, bekas bintang Atletico Madrid hitung hari ke Harimau Selatan

Selepas pemain berusia 28 tahun itu, DNA Sepanyol sekali lagi dikaitkan dengan Harimau Selatan apabila JDT difahamkan akan merekrut bekas penjaga gol Real Madrid iaitu Diego Altube.

Desas-desus Altube bersama Harimau Selatan mula meniti di bibir para penyokong apabila pemerhati sukan tanah air, Juan Budiman berkongsi pemain Sepanyol yang bakal menyertai JDT ialah seorang penjaga gol berdarah warisan negara ini.

Memetik hantaran dari laman pencari bakat, Frfuturetalent, Altube dikatakan mempunyai darah Malaysia dari ibunya dan pemain berusia 24 tahun itu juga difahamkan sudah menyelesaikan proses mendapatkan kerakyatan tanah air.

Selain usianya yang muda akan menjanjikan pelaburan jangka masa panjang buat JDT, Altube mempunyai pengalaman menimba ilmu bersama pasukan gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid ketika zaman remajanya.

Altube menyertai Akademi Real Madrid Bawah 17 tahun pada 2016 sehingga berhasil menembusi pasukan simpanan skuad Los Blancos iaitu Real Madrid Castilla dari musim 2019 sehingga 2021.

Penjaga gol berketinggian 1.88 meter itu difahamkan dilepaskan oleh kelabnya di La Liga 2, Albacete pada 1 Julai 2024 yang lalu dan dikhabarkan akan menyertai JDT pada jendela perpindahan Ogos ini.

Terdahulu, penyokong JDT dihidangkan dengan khabar angin mengatakan Harimau Selatan akan merekrut pemain import kelahiran Korea Selatan, dua pemain Sepanyol, seorang pemain Colombia dan seorang pemain Argentina.

Selain diramaikan dengan kehadiran lambakan import bagi membantu saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), perpindahan seorang pemain tempatan juga dijangka bakal mewarnai jendela kedua pada bulan Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram