[VIDEO] Dah macam kem tentera, latihan penjaga gol muda di JB buat ramai nampak bayangan 'prime' Ifwat Akmal


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Tangkap layar latihan penjaga gol yang dikenali sebagai Mio Army Goalkeepertrainer di laman TikTok.

PERJALANAN untuk bergelar seorang pemain bola sepak profesional penuh liku dengan setiap pemain terpaksa mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga di peringkat permulaan demi mencapai cita-cita tersebut.

Selain pengorbanan dari segi fizikal, seseorang pemain bola sepak juga perlu mengukuhkan mentaliti mereka terutama ketika latihan sebelum melangkah ke dunia profesional.

Bercakap mengenai mentaliti pemain di peringkat remaja, video seorang pemain bola sepak muda di Johor Bahru, Johor mencuri perhatian apabila dia dilihat tekun berlatih walaupun dimarahi oleh jurulatihnya.

BACA LAGI: Bakal jadi pemain kedua termahal JDT, bekas bintang Atletico Madrid hitung hari ke Harimau Selatan

BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya

Menerusi video tular berdurasi satu minit 56 saat, menyaksikan jurulatih yang dikenali sebagai Mio Army Goalkeepertrainer menerapkan pendekatan seolah-olah kem tentera ketika melatih anak didiknya.

Pendekatan oleh jurulatih berkenaan menyebabkan penjaga gol muda yang dikenali sebagai Muiz itu menangis teresak-esak namun masih tetap menerima arahan dan latihan yang diberikan oleh gurunya itu.

"Bersabar. Insya-ALLAH, anda akan dapat kemanisan di kemudian hari," tulis jurulatih berkenaan di laman TikToknya.

Di penghujung video latihan yang dimuat naik gurunya itu, penjaga gol muda berkenaan akhirnya dapat menangkap bola dengan kemas hasil percubaan berapa kali oleh jurulatih tersebut.

Rentetan daripada intipati video latihan itu, meskipun ramai yang mengecam pendekatan ala tentera jurulatih tersebut, namun ada juga warganet suka caranya melatih pemain-pemain muda.

"Biar sakit semasa latihan, sebab setiap kemenangan berpunca dari kekalahan dahulu," kata pengguna TikTok, Acuuu.

"Bermain sebagai penjaga gol, jiwa kena berani dan kental. Kau boleh adik. Jangan benci dan penat latihan. Kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan harus ada usaha yang gigih," komen salah satu pengguna TikTok, Pojie Sagawara.

"Aku suka cara jurulatih ini sebab dia nak bagi pemain ini rasa bila muka kena bola akan lagi sakit. Jadi dia nak biasakan tak takut tangkap bola. Sukan ini salah satu bagi budak-budak disiplin," tambah warganet, Imah Yusoff.

"Tengok gaya adik ini boleh jadi macam Ifwat (Akmal) masa dia 'prime' (berada di puncak kerjaya) dulu dengan Kedah. Memang kemas saja tangkap bola," puji penyokong, Nizam Kasim.

Kegigihan Muiz yang tidak putus asa itu membuatkan sesetengah penyokong teringat dengan penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifwat Akmal.

Ifwat setia bersama pasukan Kedah sejak tahun 2016 lagi. Walaupun persembahannya dikritik namun pemain itu tetap cuba memberikan prestasi yang terbaik di atas padang.

Meskipun posisinya semakin dibayangi Kalamullah Al-Hafiz, pasti ramai penyokong masih merindui kemuncak karier Ifwat ketika membantu Kedah dalam aksi getir seperti perlawanan akhir Piala FA 2017 dan 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram