
KELAB bola sepak komuniti di Terengganu, Kerteh FC mengambil langkah lebih besar dalam usaha memperolehi dana, menarik sokongan penyokong dan meningkatkan capaian peminat baharu menerusi platform aplikasi digital terkini.
Presiden kelab, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, Kerteh FC kini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat inovasi Teknologi Maklumat Sportexclub dari Minsk, Belarus dan sudah berada dalam fasa akhir untuk melancarkan aplikasi canggih itu dengan ia merupakan yang pertama dalam negara.
"Kita berharap dengan aplikasi canggih itu akan membantu kelab bola sepak Kerteh ini menarik dana tambahan selain meningkatkan jumlah capaian peminat baharu bukan sahaja dari sekitar Kerteh, malah dari seluruh negeri Terengganu dan juga dari seluruh negara".
"Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting bagi Kerteh FC, mengukuhkan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi demi pertumbuhan dan penglibatan semua peminat dan penyokong kami," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Tak rujuk kelab luar negara, koperasi Kerteh FC sasar 3,000 keahlian, diyakini ada potensi
BACA LAGI: Penasihat Teknikal dari Barcelona terpikat bakat 3 ubi muda Kerteh FC
Aplikasi Sportexclub boleh mendekatkan penyokong dengan pasukan masing-masing.
Jelas Razeman, Sportexclub yang dijangka dilancarkan pada Ogos merupakan antara aplikasi mesra pengguna dengan ciri-ciri yang akan menyediakan kelab itu dengan sistem baharu bagi meningkatkan usaha pemerolehan dana dan mengembangkan pangkalan data peminat kelab.
Tambahnya, kerjasama strategik itu akan membolehkan Kerteh FC berhubung dengan penaja dan penyokongnya secara digital, sekali gus mampu menjana aliran pendapatan baharu serta menyumbang kepada lebih banyak pencapaian kelab.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Sportexclub kerana pendekatan inovatif mereka untuk mengintegrasikan teknologi dengan pengurusan sukan selari dengan visi kami.
"Perkongsian ini akan menyediakan kami dengan sumber digital yang kami perlukan untuk meningkatkan operasi kami dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
"Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, Sportexclub akan menyokong usaha Kerteh FC untuk melibatkan komuniti dan mempromosikan penyertaan dan sokongan pihak awam," katanya.
Kerteh FC merupakan salah sebuah kelab komuniti paling dikenali dalam negara. — Facebook/Kerteh FC
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sportexclub, Yauheni Kokhna berkata, pihaknya teruja dan berbangga dengan kerjasama yang dijalin dengan Kerteh FC walaupun kelab tersebut bertaraf kelab bola sepak komuniti.
“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Kerteh FC. Misi kami adalah untuk memperkasakan kelab bola sepak dengan teknologi yang mendorong kepada pertumbuhan dan penglibatan.
"Kami percaya perkongsian ini akan memberi impak yang bermakna kepada Kerteh FC dan komuniti setempat yang lebih luas selain memberi pengalaman baharu kepada penyokong sebuah kelab bola sepak di Malaysia," katanya.
Menerusi aplikasi digital itu, peminat dan penyokong kelab tersebut boleh mendapatkan pelbagai maklumat selain berinteraksi secara terus dengan pengurusan kelab.
Pendaftaran keahlian serta pemilikan saham dalam Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) juga disediakan menerusi aplikasi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram