Lepas Pan-gon, Southgate pula buat kejutan tinggalkan England


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Southgate membawa skuad Three Lions ke dua perlawanan akhir Euro secara berturut-turut. — Agensi

KEPUTUSAN Kim Pan-gon melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya sudah cukup untuk membawa kejutan memandangkan jurulatih itu memiliki pencapaian tersendiri bersama skuad kebangsaan.

Kejayaan membawa pasukan negara ke Piala Asia 2023 serta menambah baik kedudukan dalam ranking FIFA boleh dikatakan sebagai sumbangan paling besarnya buat Harimau Malaya.

Meskipun beberapa kali dikritik atas keputusan kurang memberangsangkan, pencapaian dan perubahan dibawanya sudah cukup untuk menjadikannya sebagai antara pengendali terbaik skuad kebangsaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin Southgate jadi punca, penyokong England 'bergasak' usai tewas Euro 2024

BACA LAGI: Southgate tak peduli desakan tukar taktik, bintang Man United jadi sandaran benam Slovakia

Namun, masih belum reda akan kejutan berkenaan, peminat bola sepak seluruh dunia sekali lagi menerima khabar sukar dijangka dengan ia tiba dari benua Eropah pula.

Kim-Pan-Gon

Tempoh empat tahun Pan-gon bersama Harimau Malaya cukup memberangsangkan.

Ini selepas pengendali England, Gareth Southgate diumumkan akan melepaskan jawatan hanya beberapa hari selepas membawa pasukan itu ke pentas akhir Kejohanan Euro 2024.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, keputusan itu dibuat selepas jurulatih berkenaan bercita-cita untuk mencari cabaran baharu dalam kariernya.

"Sebagai seorang rakyat England, ia adalah satu penghargaan bagi saya untuk beraksi dan membimbing pasukan ini. Ia amat bermakna buat saya.

"Tetapi, sudah tiba masanya untuk membuat perubahan dan membuka lembaran baharu. Aksi berdepan Sepanyol di Stadium Olimpik, Jerman adalah perlawanan terakhir saya," katanya.

Southgate merupakan antara pengendali paling berjaya dalam era bola sepak moden buat England selepas membawa mereka ke dua perlawanan akhir Euro, iaitu pada 2020 dan 2024.

Selain itu, bekas pemain Middlesbrough itu pernah membimbing skuad Three Lions ke separuh akhir Piala Dunia 2018, namun dikecewakan Croatia dalam perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, pendekatan taktikalnya yang terlalu berhati-hati mengundang kritikan ramai dengan masing-masing mahu seseorang lebih berkaliber mengisi jawatan itu.

Setakat ini, khabar angin mengatakan bekas pengurus Chelsea, Graham Potter, Eddie Howe yang kini bersama Newcastle United serta Thomas Tuchel merupakan antara calon paling disebut-sebut untuk mengisi kekosongan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram