WALAUPUN menerima kritikan hebat daripada penganalisis serta penyokong mengenai taktikalnya, pengendali England, Gareth Southgate dilihat masih berdegil.
Pengendali tersebut masih mahu mengekalkan pendekatan yang dilakukannya sepanjang peringkat kumpulan apabila bertemu Slovakia di peringkat 16 pasukan terbaik Euro 2024 pada tengah malam Isnin, waktu Malaysia.
Sebelum ini, Southgate menerima banyak kecaman kerana taktikalnya yang dilihat negatif walaupun mempunyai pemain serangan handalan seperti Jude Bellingham, Bukayo Saka dan Harry Kane.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara bosan layan aksi England, penyokong campak cawan ke arah Southgate
BACA LAGI: Lepas Trent dikecam teruk, Southgate pilih bintang buangan Chelsea pula kemudi tengah England
Mainoo (kanan) beraksi cemerlang dalam dua penampilannya sebagai pemain gantian. — Agensi
Dia diseru untuk melakukan perubahan drastik terhadap kesebelasan utamanya untuk aksi kalah mati tersebut selepas beberapa pemain dilihat tidak beraksi pada tahap diperlukan pada peringkat kumpulan.
Namun begitu, Southgate dilihat tidak bersedia untuk melakukan rombakan dengan dia lebih selesa menggunakan kesebelasan utama yang sering diturunkannya bagi berdepan Slovakia.
Akan tetapi, terdapat seorang pemain yang dijangka bakal menjadi sandaran Southgate. Pengurus itu dijangka menurunkan pemain Manchester United, Kobbie Mainoo selepas mempamerkan aksi cemerlang.
Mainoo dua kali beraksi sebagai pemain gantian semasa peringkat kumpulan dan dia tidak mengecewakan. Semasa berdepan Slovenia, pemain tersebut mempamerkan kualitinya walaupun England terpaksa sekadar seri pada aksi tersebut.
Southgate dijangka meletakkan Mainoo sebagai teraju utama di bahagian tengah sambil menolak pemain seperti Cole Palmer dan Anthony Gordon ke bangku simpanan.
Jika diturunkan, Mainoo akan bergandingan bersama Declan Rice di bahagian tengah sambil pemain United itu adalah pasangan ketiga bintang Arsenal tersebut dalam Euro 2024.
Sebelum ini, Rice bergandingan dengan Trent Alexander-Arnold dan Conor Gallagher di bahagian tengah tetapi gagal menghasilkan impak diharapkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram