Selain Smeltz, bintang JDT dan budak nakal Sabah antara pemain Liga M pernah warnai Piala Dunia


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Diouf (kiri), Aimar (tengah) dan Balaban (kanan) antara bintang Piala Dunia yang pernah beraksi di Malaysia.

TANPA kita sedar, saingan Liga Malaysia (Liga M) pernah dibarisi oleh pelbagai pemain dari serata dunia.

Malah, ada di antara mereka merupakan pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia serta meninggalkan impak kepada kejohanan terulung bola sepak itu.

Sebelum ini, Majoriti ada bercerita mengenai Kedah Darul Aman FC mendapatkan penyerang Piala Dunia New Zealand iaitu Shane Smeltz. Kini, kita menyingkap nama-nama lain pula yang pernah berkelana di Malaysia.

BACA LAGI: Impak sementara tapi sempurna buat Kedah, penyerang Piala Dunia tak pernah luput dari ingatan penyokong

BACA LAGI: Cuma kebetulan semata-mata, Bojan Hodak nafi JDT lebih gah tanpa bintang Piala Dunia

El Hadji Diouf

Pemain yang terkenal dengan sisi 'budak nakal' ini merupakan antara nama yang menggegar Eropah satu ketika dulu.

Beraksi untuk pelbagai kelab seperti Liverpool, Leeds United dan Rangers, Diouf pernah mencuri tumpuan di Piala Dunia 2002 bersama Senegal.

Diouf mungkin tidak menjaringkan gol, tetapi tiga bantuan jaringannya membantu Senegal layak sehingga ke suku akhir Piala Dunia ketika itu.

Pada musim 2015, Sabah FC mencipta kejutan apabila membawa Diouf ketika mereka beraksi di Liga Premier. Namun begitu, jodohnya tidak lama bersama mereka sebelum memilih untuk bersara.

el-hadji-800x791

Diouf pernah beraksi di Stadium Merdeka ketika mewakili Sabah.

Pablo Aimar

Mungkin inilah bintang Piala Dunia paling hebat pernah bermain di Liga M. Aimar merupakan antara bintang di bahagian tengah buat Argentina.

Mewakili gergasi Amerika Selatan itu pada Piala Dunia 2002 dan 2006, Aimar dikenali sebagai antara pemain tengah menyerang terbaik pada eranya.

Aimar menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertengahan musim 2013. Walaupun bertahan sekadar semusim, tetapi impaknya bersama Harimau Selatan cukup baik.

Aimar kini sudah bersara dan menjadi pembantu jurulatih kepada Lionel Scaloni di skuad kebangsaan Argentina.

129937484_239246177730030_4525596682057197479_o

Aimar (kanan) antara rekrut berprofil tinggi terawal dilakukan JDT.

Bosko Balaban

Balaban merupakan satu lagi nama yang pernah menyertai Piala Dunia dan mempunyai pengalaman beraksi di Malaysia iaitu bersama Selangor FC.

Penyerang dari Croatia itu mempunyai pengalaman beraksi dalam dua Piala Dunia iaitu ketika 2002 dan 2006 namun tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan.

ETolsFXUUAA2u77

Selangor merupakan kelab terakhir Balaban sebelum bersara.

Balaban menyertai Selangor pada 2012 dengan reputasi besar dengan misi membantu mereka menghalang dominasi Kelantan FC namun tidak berhasil.

Selepas semusim bersama Selangor, Balaban kemudiannya mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram