PEMAIN pertahanan antarabangsa Jordan, Yazan Al-Arab masih lagi tidak putus harapan untuk beraksi di Malaysia.
Bekas pemain Selangor FC itu mendakwa yang dia masih rindukan pengalaman beraksi di Liga Super dan berharap dapat kembali ke Malaysia satu hari nanti.
Sebelum ini, Yazan digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah menendang pengadil ketika pertembungan suku akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC.
Yazan digantung FAM daripada terlibat dengan bola sepak Malaysia selama seumur hidup dan kontraknya bersama Gergasi Merah ditamatkan atas persetujuan bersama selepas hukuman dijatuhkan.
Disebabkan itu, Yazan tidak bermain bola sepak kompetitif selama tiga bulan namun masih mampu beraksi cemerlang untuk membantu Jordan menumpaskan Malaysia 4-0 dalam aksi pertama Piala Asia 2023.
BACA LAGI: [VIDEO] Al-Mardi ingin reunion dengan Aidil Sharin, Yazan tiada niat balas dendam
Yazan (kanan) begitu cemerlang ketika Jordan tumbangkan Malaysia. — Facebook/Jordan FA
"Perlawanan menentang Terengganu itu cukup sukar untuk saya. Selepas perlawanan, saya tidak bermain bola sepak (secara kompetitif) selama tiga bulan sebelum saya berpindah ke Iraq menyertai Al-Shorta pada bulan Januari.
"Saya harap pihak FAM boleh membuat keputusan baharu dan membantu saya bermain semula di Malaysia.
"Saya sukakan Malaysia dan orang-orangnya. Saya rindukan penyokong di sana terutamanya penyokong Selangor. Saya ingin ucapkan tahniah kepada mereka kerana layak ke Liga Juara-Juara AFC 2," kata Yazan.
Untuk rekod, kesalahan yang dilakukan oleh Yazan itu melanggar etika disiplin yang ditetapkan FAM. Walaupun ia adalah kesalahan berat, tetapi Yazan masih boleh merayu kepada FAM untuk meringankan hukumannya.
Yazan beraksi selama dua musim bersama-sama Selangor dengan pertahanan tengah itu menyertai mereka pada 2021.
Dia beraksi dengan cukup cemerlang ketika menewaskan Malaysia. Selain Yazan, pemain Selangor iaitu Noor Al-Rawabdeh dan bekas bintang Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al-Mardi juga hebat dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut. — THE STAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram