LAZIMNYA selepas tamat karier bermain, pemain bola sepak lazimnya akan terus kekal dalam industri tersebut dengan menyertai pelbagai jawatan.
Ada yang terus terlibat secara terus dalam mana-mana pasukan seperti menjadi jurulatih atau pengurus. Malah, ada yang terlibat di luar lingkup sesebuah kelab dengan menjadi penganalisis di televisyen atau ejen pemain.
Itulah yang dilakukan oleh bekas bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo Luis Santo dengan dia kini bergelar ejen pemain selepas umum bersara pada Disember tahun lalu.
Bersama JDT, Diogo sempat menabur bakti dengan membuat 51 penampilan dan menyumbang 25 gol selain 17 bantuan gol.
BACA LAGI: Masa bersama JDT telah berakhir, Diogo pilih untuk bersara
BACA LAGI: [VIDEO] Diogo cedera panjang, JDT pilih legenda bola sepak Thailand jadi pengganti
Dalam kemaskini terkini pemain tersebut, Diogo yang menghabiskan banyak masa kariernya di Thailand kembali ke negara tersebut untuk menjadi ejen pemain.
Dia yang berkhidmat di DJB2 Sports dilihat memuatnaik gambar bersama para pemain dan pegawai daripada bekas kelabnya iaitu Buriram United dan menganggap kelab itu ibarat rumah buatnya.
"Berada di sini ibarat rumah, sering berasa istimewa apabila mampu untuk kembali.
"Saya harapkan kalian akan sentiasa berjaya dan harapnya anda akan gembira sama seperti saya," ujar Diogo.
Diogo yang turut dianggap sebagai bintang kesayangan penyokong Buriram ternyata membalas budi terhadap kelab itu apabila membawa masuk dua pemain baharu.
Ejen tersebut membawa Chrigor Moraes dan Matheus Vargas yang kedua-duanya dari Brazil sebagai teraju utama barisan pemain import Buriram.
Diogo kini mengikuti jejak langkah Kiko Insa yang menjadi ejen pemain serta pengaruhnya meluas baik di Malaysia dan Thailand.
Tidak lama lagi, mungkin Diogo akan membawa pula pemain baharu buat JDT selain menjadi pembekal bakat-bakat Brazil buat kelab Liga Malaysia yang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram