'Ambil pemain naturalisasi ramai pun tiada guna, kita tetap tak menang Piala Asia'


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Leandro Velazquez disebut-sebut akan menjadi pemain naturalisasi dalam masa terdekat. — Agensi

SEJAK mengamalkan pengambilan pemain secara naturalisasi, skuad kebangsaan berdepan dengan situasi hit and miss dalam pendekatan tersebut.

Setelah mendapatkan beberapa pemain naturalisasi, ada yang berjaya membawakan hasil kepada pasukan kebangsaan tetapi majoritinya nyata mengecewakan.

Nama-nama seperti Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh antara pemain naturalisasi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan namun impaknya cukup kecil.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya sanggup tunggu', TMJ beri bayangan Leandro Velazquez bakal jadi naturalisasi?

BACA LAGI: Tak sampai 24 jam keluar JDT, Leandro Velazquez kini 'laku keras'

Kini, timbul spekulasi mengatakan yang bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Leandro Velazquez akan dinaturalisasikan.

Pemain berusia 35 tahun itu sebelum ini sememangnya tampil cemerlang buat Harimau Selatan. Sepanjang bersama kelab itu, Velazquez berjaya meraih lima gelaran Liga Super, dua Piala FA, tiga Piala Malaysia dan satu Piala AFC.

Velazquez kini tidak mempunyai sebarang kelab disebut-sebut untuk dinaturalisasikan. Tetapi adakah ia akan membawa manfaat yang banyak kepada skuad kebangsaan?

Menurut pemerhati bola sepak kebangsaan, Prof Madya Zulakbal Karim, idea untuk menaturalisasikan Velazquez bukanlah satu perkara wajar.

Hal ini kerana, lebih baik sekiranya fokus ditumpukan kepada pembangunan bakat tempatan kerana impak diberikan oleh pemain naturalisasi tidaklah sebesar mana.

EIX1bEmWsAA_d12

Leandro Velazquez (tengah) bersama dengan JDT sejak 2015. — JOHOR Southern Tigers

"Jika nak kuatkan skuad kebangsaan sekali pun, fikirkan juga rasa bangga dalam diri kita. Semangat jati diri sangat penting untuk membentuk sebuah skuad kebangsaan yang berjaya. Lihat saja Lamine Yamal apabila beraksi untuk Sepanyol.

"Jika naturalisasi diteruskan, ia seolah-olah menidakkan proses pembangunan akar umbi. Kasihan kepada cikgu-cikgu, jurulatih-jurulatih yang melatih pemain dari muda tetapi skuad kebangsaan dikuasai oleh 'orang asing'.

"Seperkara lagi, ia membuatkan hak kerakyatan negara kita nampak 'murah'. Ambil pemain naturalisasi ramai pun tiada guna, kita tetap tak menang Piala Asia," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Zulakbal berkata pengambilan pemain naturalisasi dilihat tidak wajar kerana lazimnya apabila kerakyatan diberikan, pemain tersebut sudah off-peak.

Padanya, lebih baiklah fokus ditujukan kepada pembangunan pemain tempatan atau pemain warisan yang dianggap lebih berbaloi.

Pemain warisan dilihat lebih baik kerana walaupun mereka mungkin tidak lahir dan membesar di Malaysia, semangat kenegaraan itu masih ada kerana pertalian darah menerusi ibu atau bapa mereka.

"Saya pelik kenapa nak naturalisasikan Velazquez, dia pemain yang bagus tapi bukanlah luar biasa. Malah, dia sudah melepasi kemuncak kariernya.

"Pada saya ia dilihat merugikan. Lebih baik kita fokus untuk bangunkan bakat tempatan atau pemain warisan. Pemain warisan ini dia masih lagi ada kualiti dan kita boleh 'ikat' mereka pada usia muda kerana tidak terikat dengan peraturan naturalisasi," ujar Zulakbal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram