"SAYA akan tunggu dia seberapa lama yang mungkin."
Itulah luahan yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam program bual bicara Astro Arena, Nindia Bola pada Isnin.
Ia selepas tonggak utama JDT itu terpaksa disisihkan akibat kecederaan dalam perlawanan menentang Selangor FC sehingga memaksa dia diusung keluar padang pada Julai lalu.
Luahan TMJ itu sekali gus menafikan khabar angin yang menyatakan bahawa Leandro akan berpisah dengan JDT musim depan meskipun dalam laman sesawang Transfermarkt sebelum ini menunjukkan status pemain berusia 34 tahun itu ejen bebas.
Malah TMJ turut berharap pemain yang berjaya membantu JDT menjuarai Piala AFC 2015 itu akan menjadi pemain tempatan kerana beliau menyifatkan Leandro antara pemain tengah terabik dalam Liga Malaysia ketika ini.
"Leandro Velazquez 'injured' buat masa ini, tetapi kerana jasa dia dengan kelab saya jadi saya akan tunggu dia.
"Seberapa lama yang boleh, dan saya harap dia akan jadi 'local player' pada masa akan datang kerana saya rasa dia merupakan 'top midfielder'," katanya dalam Nindia Bola.
TMJ juga memberi bayangan tidak akan menandatangani penjaga gol import kerana sudah memberikan kepercayaan penuh kepada Syihan Hazmi selaku penjaga gawang utama pasukan.
Pemain kelahiran Argentina itu sudah beraksi buat JDT sejak 2019 selepas kali pertama tiba di Johor pada 2015 yang mana dia membantu Harimau Selatan menjuarai Piala AFC pada tahun tersebut.
Pada musim ini, Leandro telah menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh 'assist' sekali gus menyaksikan JDT menjuarai Liga Super kali yang ke-10 berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram