[VIDEO] Cifu antara 3 bintang 'terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau' musim ini


  • Podium
  • Isnin, 15 Jul 2024

Cifu (kanan) sebelum ini mengalami masalah tunggakan gaji bersama Kelantan dan kini Sabah pula.

SALAH satu faktor seorang pemain bola sepak memutuskan untuk berhijrah ke pasukan lain adalah disebabkan untuk lari daripada masalah gaji yang dialami kelabnya sehingga mengganggu periuk nasinya.

Namun jika menyaksikan situasi Liga Malaysia (Liga M) kini, bilangan kelab yang tidak mengalami tunggakan gaji boleh dihitung dengan jari dengan menyaksikan tunggakan gaji mencecah berbulan-bulan.

Situasi berkenaan menyaksikan ada pemain yang masih terpalit dengan masalah tunggakan gaji walaupun sudah menyarung jersi baharu pada musim ini.

BACA LAGI: Pihak pengurusan KL City usaha bayar gaji 2 bulan

BACA LAGI: 'Tak bayar gaji sejak awal liga', kelab Sang Utara turut alami masalah gaji?

Majoriti senaraikan tiga pemain yang mengalami nasib sama meskipun sudah bertukar pasukan dalam saingan Liga Super musim ini:

1. Miguel Angel Garrido Cifuentes (Sabah)

Episod ngeri buat Miguel Cifuentes kembali menghantuinya selepas pemain berusia 33 tahun itu kembali mengalami masalah tunggakan gaji.

Sebelum ini, Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu mengalami isu tunggakan gaji bersama TRW Kelantan.

Cifu yang cemerlang bersama TRW bejaya memikat pihak pengurusan Sabah untuk membawanya ke kem Sang Badak pada musim lalu.

Sebelum ini bersama Sabah, Cifu tidak pernah mengalami masalah gaji, namun selepas pihak pengurusan Sang Badak bertukar tampuk kepimpinan barulah isu ini timbul semula.

2. T. Saravanan (Sri Pahang)

Salah satu yang menjadi mangsa tunggakan gaji ialah tonggak muda Sri Pahang, T. Saravanan.

Penyerang sayap kiri muda itu kini diibaratkan seperti terlepas keluar mulut buaya, masuk mulut harimau kerana dia terpaksa meninggalkan Kuala Lumpur (KL) City ekoran isu gaji namun perpindahan ke Sri Pahang juga memakan diri.

Kisah sedih Saravanan itu dikongsikan oleh peminat sukan tanah air, Otai Sukan yang berkongsi perkara itu di laman Facebook.

"Ketika menyertai Sri Pahang beberapa bulan lalu, bintang muda ini memberitahu 'saya ada mulut untuk disuap, keluarga untuk ditanggung'. Katanya, dia terpaksa meninggalkan KL City adalah kerana masalah tunggakan gaji.

"Manakala Pahang pula datang dengan tawaran yang tak dapat ditolak. Kini, Pahang yang pada waktu itu datang gah dengan tawaran tak dapat ditolak juga tidak membayar gaji yang difahamkan tertunggak antara tiga hingga empat bulan.

"Saravanan mungkin sangkakan dia sudah diselamatkan dari mulut harimau, malangnya dia termasuk ke dalam mulut buaya," katanya

3. Mohd Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman)

Pemain pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali turut menerima nasib sama apabila meninggalkan Sabah musim ini untuk kembali ke pasukan kesayangannya Sang Kenari.

Rizal pernah terlibat semasa fasa skuad Sabah mengalami tunggakan gaji dan kini dia menghadapi perkara yang sama.

Ini selepas dakwaan bahawa Kedah masih tidak melunaskan gaji pemain sejak Liga Super bermula pada Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram