KURANG dari tiga minggu jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan membuka tirainya.
Ini kerana bulan depan, rata-rata pasukan akan cuba menambah baik kelab masing-masing untuk mengharungi saingan liga yang lebih panjang.
Namun sebelum jendela perpindahan kedua dibuka, pernahkah anda tertanya siapakah pemain Bawah-23 Tahun (B-23) yang mencatatkan minit permainan tertinggi ketika ini dalam Liga Super?
BACA LAGI: Heberty, Juan Muniz duo paling bahaya Liga Super setakat ini
BACA LAGI: [VIDEO] Impian untuk tewaskan JDT, Pak Karim pelik stadium Sabah makin kosong musim ini
Dengan perlawanan Liga Super akan memasuki minggu kelima, Majoriti senaraikan lima pemain B-23 catat minit permainan tinggi setakat ini:
1. Habib Haroon (Kedah)
Habib Haroon antara pemain import B-23 yang tersenarai mempunyai minit permainan tertinggi Liga Super setakat ini.
Bekas jeneral tengah Terengganu FC itu terus mendapat kepercayaan Nafuzi Zain untuk mengetuai jentera tengah Sang Kenari.
Dalam empat perlawanan Habib telah merekodkan 360 minit permainan dan mengutip satu kad kuning.
Habib turut memakai lilitan kapten semasa Sang Kenari tewas 0-2 di tangan Perak FC pada 24 Mei lalu.
2. Lee Tae-min (Perak)
Import baharu Korea Selatan Perak FC, Lee Tae-min menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan pengalaman beraksi dalam saingan K-League di Korea Selatan bersama Busan Ipark serta beberapa kelab lain di negara republik berkenaan.
Kehadiran pemain berusia 21 tahun itu terbukti menambah sengat buat skuad Seladang terutama sekali membabitkan aspek serangan pasukan yang agak lemah pada musim lalu.
Tae-min juga sudah memecahkan rekod 366 'game time' bersama kelab terdahulu musim lepas.
Ia kerana pemain berusia 21 tahun itu telah merekodkan 450 minit permainan (termasuk Piala FA) dan menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam lima perlawanan terakhir.
3. Sikh Izhan Nazrel (Penang)
Kedudukan penjaga gol utama Selangor, Samuel Somerville pastinya tercabar jika Sikh Izhan Nazrel terus mempamerkan aksi cemerlang bersama Penang musim ini.
Sikh Izhan yang dipinjamkan oleh Selangor ke Penang bagi memberi ruang untuk mendapatkan minit permainan telah berjaya memikat hati Akmal Rizal.
Bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari itu berjaya menewaskan penjaga gol senior lain untuk menjadi benteng terakhir Harimau Kumbang musim ini.
Anak jati Pulau Pinang itu turut merekodkan minit permainan yang tinggi sama seperti Habib dan Tae-min.
4. Ubaidullah Shamsul (Terengganu)
Kecemerlangan Terengganu musim ini kerana mempunyai barisan pertahanan yang sangat ampuh sehingga menyukarkan barisan serangan lawan untuk menjaringkan gol.
Salah seorang watak utama di sebalik perkara tersebut ialah pemain muda, Ubaidullah Shamsul Fazili yang baru sahaja diberikan peluang dalam pasukan senior musim lalu.
Tenang, sering berkomunikasi dan pantas menghidu ancaman lawan merupakan salah satu kunci utama di sebalik kehadirannya yang semakin kerap buat Terengganu.
Jadi tidak hairan jika pemain berusia 20 tahun itu telah tersenarai antara pemain B-23 yang mempunyai rekod minit permainan tertinggi bersama Terengganu.
5. Kim Ri-gwan (Kelantan)
Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) memiliki pertahanan import yang mampu menghasilkan jaringan.
Pemain itu ialah Kim Ri-gwan yang berasal dari Korea Selatan pada awal musim ini untuk menyertai transformasi penjenamaan semula KDN FC.
Dalam perlawanan menentang Sabah pada 17 Mei lalu, Ri-gwan turut menyumbangkan satu gol untuk cuba membantu Kelantan bangkit daripada ketinggalan ketika tewas di tangan Sang Badak.
Pada minit ke-55, Ri-gwan berjaya menanduk bola masuk ke gawang lawan selepas mudah memenangi pertarungan udara hasil sepakan penjuru Oday Ali Abdulrahim Kharoub namun gagal membantu Kijang Emas mengutip sebarang mata.
Sejak daripada itu, Ri-gwan sering mendapat kepercayaan Park Jae-hong untuk diturunkan dalam kesemua perlawanan Liga Super dan Piala FA sebagai kesebelasan utama pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram