PENGENDALI Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli boleh menghela nafas lega selepas pasukan kendaliannya berjaya merekodkan kemenangan pertama musim ini.
Keputusan positif itu berjaya dicatat oleh anak-anak buahnya selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-0 di halaman lawan pada Sabtu (13 Julai).
Dua jaringan Penang telah dihasilkan oleh Neto Oliveira dan Alif Ikmalrizal sekali gus memberikan tiga mata penuh pertama Harimau Kumbang dalam empat perlawanan terakhir.
BACA LAGI: Bukan umum penaja RM10 juta, Kedah Darul Aman lantik CEO baharu
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Perak keluar stadium tak hirau pemain, mula laungkan ‘YCL Out’
Mengulas lanjut kemenangan Penang FC, bekas pengendali Harimau Kumbang, Datuk Zainal Abidin Hassan memuji persiapan anak-anak buah Akmal Rizal kerana berjaya melakukan beberapa peningkatan.
"Tahun ini mereka telah menunjukkan sesuatu benda yang baik, cuma permulaan yang baik tetapi ada sedikit kepincangan di bahagian serangan pasukan.
"Ini kerana mereka melakukan banyak peluang dan semalam (Sabtu) coach Akmal dah memperbaiki perkara itu.
"Semasa (menentang Perak) terbukti bahawa mereka masih lagi di transaksi yang sana dan meningkat daripada segi menjaringkan gol.
"Itulah kemenangan mereka (Penang)," katanya kepada Majoriti.
Zainal pernah dilantik menjadi Ketua Jurulatih Penang pada 2022.
Zainal turut berpendapat Penang ketika ini hanya perlu memperbaiki barisan serangan pasukan untuk mencabar kejuaraan Liga Super.
"Penang paling ketara (masalah) ialah memperbaiki bahagian serangan untuk memudahkan peluang-peluang terhidang.
"Jadi dengan adanya dua pemain tempatan yang mempunyai masa depan cerah Nabil (Latpi) dan Aliff Ikmalrizal memberi petanda baik.
"Namun mereka (Penang) memerlukan seorang juga di atas yang lebih berpengalaman yang boleh menjaringkan gol," ujarnya.
Sebelum ini, Akmal Rizal mendedahkan jendela perpindahan kedua ini akan berlaku penambahbaikan dalam skuad Harimau Kumbang dengan kemasukan penyerang baharu.
Dengan kejayaan menewaskan Perak, kini Penang menduduki tangga ketujuh liga dengan mengutip enam mata selepas merekodkan satu kemenangan, satu kekalahan dan tiga seri dalam lima perlawanan terakhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram