SKUAD Three Lions mengalami kekalahan tipis 1-2 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Kejohanan Euro 2024 di Stadium Olimpik, Jerman pada Isnin.
Kekalahan itu sudah tentu membawa kekecewaan terhadap anak-anak buah Gareth Southgate yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memadam episod duka pada edisi yang lalu.
Malah, salah seorang daripada mereka, Jude Bellingham meluahkan perasaan itu dengan menendang bakul yang berisi botol air di tepi padang selepas wisel penamat ditiupkan.
BACA LAGI: Jude Bellingham terlepas hukuman berat kes buat isyarat tak senonoh
Dalam satu klip yang dirakam penyokong, pemain Real Madrid itu bertindak berkenaan ketika dalam perjalanan ke bangku simpanan selepas wisel penamat ditiupkan.
Meskipun tidak mendatangkan kecederaan terhadap mana-mana individu lain, tindakan itu jelas memaparkan kekecewaan dirasai bintang England berkenaan.
Dia kemudiannya kelihatan duduk keseorangan diri di bangku simpanan sambil menyaksikan pemain Sepanyol meraikan kejayaan menjulang Kejohanan Euro buat kali keempat dalam sejarah.
Bagaimanapun, beberapa pemain senior Three Lions tampil menenangkan Bellingham yang menjaringkan dua gol dalam membantu pasukannya ke perlawanan akhir.
Malah, rakan sepasukannya di Real Madrid, Joselu yang beraksi untuk skuad La Roja turut kelihatan memberikan kata-kata semangat buat pemain berusia 21 tahun itu.
Bellingham (kiri) ditenangkan Joselu selepas wisel penamat ditiupkan. — Agensi
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Bellingham menyifatkan kekalahan dialami England adalah 'kejam' dan memberi kesan mendalam terhadap moral masing-masing.
"Untuk tewas dengan cara begini adalah sangat 'kejam;. Mungkin kami tidak beraksi dengan baik, tetapi masih ada beberapa peluang baik yang membolehkan kami kembali bersaing.
"Namun, secara tiba-tiba, pintu gol kami dibolosi dengan jaringan lewat, ia sangat mengecewakan. Kami mahu mencipta sejarah dan membuatkan rakyat England bangga, tetapi kami gagal melakukannya," kata pemain berkenaan.
Dalam perlawanan berkenaan, skuad Three Lions mengalami kekalahan selepas Sepanyol menjaringkan gol menerusi Nico Williams dan Mikel Oyarzabal sementara jaringan mereka disumbangkan Cole Palmer.
Keputusan mengecewakan itu turut menyaksikan penantian 58 tahun mereka untuk meraih sebarang gelaran di peringkat antarabangsa berterusan — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram