JARINGAN minit akhir daripada Ollie Watkins sudah cukup untuk menghantar England ke perlawanan akhir Euro 2024 setelah menyingkirkan Belanda di separuh akhir.
Skuad Three Lions yang pada awalnya tertekan selepas ketinggalan seawal minit ketujuh berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane.
Namun, percubaan untuk menambah jaringan tidak membuahkan hasil sehingga mendesak pengendali, Gareth Southgate memasukkan Watkins pada minit ke-81.
BACA LAGI: Euro 2024 adalah kegagalan buat saya — Mbappe
BACA LAGI: Morata merajuk, anggap Euro 2024 penampilan terakhir lepas bantu Sepanyol ke semi
Keputusan itu membuahkan hasil apabila penyerang Aston Villa itu menewaskan penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen yang diraikan ribuan penyokong di Signal Iduna Park, Jerman.
Sorakan gemuruh turut disaksikan di kawasan teknikal England dengan staf kejurulatihan Southgate kelihatan amat berpuas hati dengan gol pada masa kecederaan tersebut.
Bagaimanapun, satu momen mencuit hati sempat dirakam memaparkan pembantu Southgate, Jimmy Floyd Hasselbaink sedikit keliru dengan kemenangan itu.
Dia yang merupakan warga Belanda pada awalnya melompat keriangan sambil memeluk rakan sejawatnya kerana mereka berjaya mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Euro buat kali kedua berturut-turut.
Southgate (kiri) dan Hasselbaink merupakan bekas pemain Middlesbrough. — Agensi
Tetapi, menyedari akan asal usulnya, bekas penyerang Chelsea itu secara tiba-tiba memaparkan riak wajah kelat sebelum menyepikan dirinya daripada keraian tersebut.
Reaksi ditunjukkan Hasselbaink itu mencuri perhatian ramai memandangkan dilema sebegitu sering dihadapi barisan kejurulatihan, lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.
Jurulatih berusia 52 tahun itu diserap ke dalam skuad kejurulatihan England kerana pernah beraksi di samping Southgate ketika kedua-dua mereka berada di Middlesbrough.
Namun, kehadirannya tidak dipertikaikan penyokong England memandangkan Hasselbaink memiliki pengalaman berharga dalam bidang kejurulatihan bersama beberapa kelab kerdil seperti Royal Antwerp di Belgium dan Burton Albion.
Skuad Three Lions bakal berdepan Sepanyol dalam perlawanan akhir pada Isnin depan di Olympiastadion, Jerman dalam misi menjulang Kejohanan Euro buat kali pertama dalam sejarah mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram