Euro 2024: Bukan macam Bellingham, bek kental Man United tak kisah pengadil kontroversi England-Belanda


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

 Jude Bellingham ketika meraikan kemenangan selepas England berjaya mara ke separuh akhir Euro 2024. — Agensi 

PENGADIL Jerman, Felix Zwayer dilantik bagi mengendalikan perlawanan separuh akhir Euro 2024 antara England dan Belanda dalam perlawanan yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis.

Sebelum ini, Zwayer merupakan pengadil yang pernah dikritik secara terbuka oleh Jude Bellingham kerana skandal mengatur perlawanan.

Ketika Bellingham berada di Borussia Dortmund bagi musim 2021, pemain tengah England itu didenda sebanyak AS$40,000 (RM203,987) untuk komen yang dibuatnya mengenai Zwayer berikutan kekalahan 2-3 pasukannya kepada Bayern Munich.

BACA LAGI: Lepak dengan import JDT, Rafael Vitor selangkah ke JDT?

BACA LAGI: Bukan tugas mudah bertemu The Cats, P Maniam akui kualiti Filemon Anyie, bekas winger Pahang

Zwayer

Zwayer akan mengadili aksi antara England berdepan Belanda pada separuh akhir Euro 2024. Agensi

Dortmund merayu mendapatkan penalti sebelum pendahulu Bundesliga, Bayern menjaringkan gol dari sepakan penalti seterusnya menyaksikan mereka mendapat tiga mata dan Bellingham berang terhadap situasi itu.

"Anda sendiri boleh melihat banyak keputusan meragukan dalam permainan itu. Anda berikan pengadil yang mengatur perlawanan sebelum ini, perlawanan terbesar di Jerman. Apa yang anda jangkakan?" kata Bellingham.

Komen Bellingham dipercayai merujuk kepada apa yang pernah berlaku dalam kerjaya Zwayer sebelum ini.

Pada 2005, pengadil Robert Hoyzer dijatuhi hukuman penjara dua tahun lima bulan kerana peranannya dalam skandal mengatur perlawanan besar-besaran yang menggegarkan bola sepak Jerman dan walaupun Zwayer adalah salah seorang yang melaporkan perkara itu dia juga turut dihukum.

Zwayer digantung enam bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) kerana menerima AS$300 (RM1,530) daripada Hoyzer kerana bersetuju membuat keputusan yang salah semasa perlawanan ketika dia menjadi penolong pengadil.

Dia kemudiannya mengambil cuti seketika selepas komen Bellingham, namun kembali mengadili perlawanan akhir Liga Negara-Negara pada 2023 dan tiga perlawanan sebelum separuh akhir di Euro 2024.

UEFA bagaimana enggan mengulas ketika dihubungi Reuters mengenai pelantikan Zwayer untuk perlawanan Khamis ini.

Meskipun begitu, pertahanan England, Luke Shaw mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pemilihan pengadil tersebut malah dilihat lebih bersikap positif.

"Siapa pun pengadil yang dilantik, kami hanya perlu bersedia dan fokus di atas padang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram