BEBERAPA jam lagi sebelum para penyokong menyaksikan perlawanan akhir kejohanan Euro 2024 antara England dan Sepanyol yang dijadualkan berlangsung di Stadium Olimpik dekat Berlin, Jerman pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).
Menjelang perlawanan getir itu, pasti masing-masing penyokong dari kedua-dua pasukan mempunyai sasaran kemenangan sendiri dengan berharap agar skuad pilihan mereka membawa pulang trofi.
Jika sebelumnya, ramai individu berpengaruh berkongsi ramalan mereka, kali ini ada juga seekor burung helang yang bernama Honey menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada England pada perlawanan akhir itu.
BACA LAGI: Sejarah jadi bukti England mampu bergelar juara Euro 2024 berbanding Sepanyol
BACA LAGI: Lepas peristiwa di Bundesliga, tonggak Sepanyol berazam lanjutkan 'sumpahan' trofi Harry Kane
Ramalan helang Afrika berusia 23 tahun itu selama ini tidak pernah salah apabila dia pernah menduga bahawa England akan memenangi setiap perlawanan dalam Euro dan antara yang popular ketika kemenangan The Three Lions ke atas Slovenia.
Bukan itu sahaja, Honey juga difahamkan pernah meramalkan England akan menewaskan Serbia pada perlawanan pertama dan ia benar-benar berlaku. The Three Lions menang 1-0 ke atas skuad Eagles tersebut.
Menerusi laporan media luar negara, helang itu dilihat memilih pasukan kendalian Gareth Southgate berbanding Sepanyol pada Sabtu apabila dia terbang ke lelaki yang memegang bendera England.
England mara ke final Euro 2024 selepas menewaskan Belanda 2-1 pada pusingan separuh akhir. — Agensi
Ramalan dari helang itu dikongsikan oleh Pengarah Yayasan Hidupan Liar Eagle Heights di Eynsford, Kent, Alex Leonard yang memberitahu Honey turut pakar dalam meramal keadaan cuaca.
“Honey si helang sudah membuat ramalan psikik iaitu kemenangan akan berpihak kepada England. Honey juga berkemampuan dalam meramalkan beberapa perkara termasuk cuaca.
“Ia tidak akan keluar jika hujan lebat. Dia cukup menakjubkan dengan kemampuannya. Dan sudah tentu ia luar biasa dalam meramalkan keputusan bola sepak. Ia satu dalam sejuta," kata Leonard.
Untuk rekod, Honey diselamatkan pada tahun 2001 di Cameroon ketika helang berkenaan hampir menjadi mangsa perdagangan hidupan liar haram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram