SELANGOR Red Giants (SRG) akhirnya berjaya mengubah skrip perlawanan mereka menentang RSG MY apabila tiada masalah menewaskan musuh tradisi mereka itu dengan kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Profesional MLBB Malaysia bagi musim ke-13 (MPL MY S13) pada Jumaat.
Kemenangan 2-0 itu secara tidak langsung menamatkan badi mereka bertemu RSG, yang mana sebelum ini pasukan Lembah Klang berkenaan tidak pernah merekodkan kemenangan ke atas pasukan itu.
Kejayaan berharga yang menyaksikan mereka melonjak ke tangga pertama liga itu rupa-rupanya dibayar mahal apabila difahamkan SRG mengorbankan cuti perayaan Aidilfitri demi latihan berpasukan.
Pemain EXP Laner Selangor Red Giants, Ilman Zareef atau lebih dikenali sebagai Gojes mengakui sedikit terbeban untuk kembali berlatih bersama pasukan kerana masih dalam ‘mood' Aidilfitri.
“Kami semua tahu yang kami kena berkorban untuk daptkan sesuatu. Jadi bila kena balik awal itu memang agak merungut dan rasa berat nak balik awal. Tapi kami tukar mindset. Kami tahu nak jadi juara dan kami perlu buat lebih deri yang lain.
“Akhirnya, pengorbanan berbaloi dengan kemenangan tadi. Memang gembira sebab kami tengah win streak. Harap dapat teruskan momentum,” katanya kepada Majoriti.
Gojes berkata demikian selepas perlawanan MPL MY Selangor Red Giants menentang RSG MY di Stadium Majlis Bandaraya Serdang Jaya (MBSJ), Serdang, Selangor pada Jumaat.
Bercakap mengenai momentum kemenangan tanpa kalah itu, Gojes berkongsi bahawa perdebatan yang sering berlaku dalam kalangan pemain dan jurulatih, Arcadia merupakan ramuan rahsia kerjayaan mereka.
“Sebenarnya jurulatih lagi suka kalau kami berdebat, jadi kami akan keluarkan semua idea dan kami akan sepakat dengan satu kata putus.
“Kalau kami rasa benda itu salah. Kami akan cakap. Jika kami salah, kami akan terima. Jurulatih terbuka untuk menerima pandangan, katanya.
Dalam pada itu, meskipun Selangor Red Giants masih dapat mengekalkan kemenangan, ia tidak meletakkan mereka di tempat selesa apabila mendedahkan Team Haq merupakan pencabar terkuat mereka.
Tidak dinafikan SRG sudah menewaskan Team Haq dengan keputusan 2-0 pada perlawanan minggu satu tempoh hari namun watak hero yang dibawa bekas juara MPL MY musim ke-10 itu masih menimbulkan kebimbangan.
“Kalau rasa yang susah sikit apabila lawan Team Haq sebab mereka ada bawa hero yang tak selalunya orang bawa dekat perlawanan. Silvanna yang mereka akan bawa selalu.
“Hero tu jarang keluar, sukar nak dijangka. Kami selalu bawa hero yang biasa tapi bila mereka bawa hero yang tak biasa kami lawan, rasa kekok,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram