Dominus kena ban setahun atur perlawanan MPL, Adam Adli mahu 'fair play' dalam e-sport


  • eSports
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Pemain Bountee Esports iaitu Dominus dilarang daripada menyertai mana-mana kejohanan rasmi Moonton Games. — Instagram/Dominus

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim menitip pesanan untuk semua komuniti e-sukan agar bermain secara adil bagi memastikan suasana sukan berkenaan tidak terjejas dengan insiden kontroversi.

Adam Adli berkata demikian ketika mengulas seorang pemain dari Bountee Esports, Nik 'Dominus' Muhyyiddin digantung selama setahun berkuat kuasa serta-merta kerana cubaan mengatur perlawanan Liga Profesipnal MLBB Malaysia bagi musim ke-13 (MPL MY S13).

Selain itu, Dominus juga difahamkan menghadapi dua pertuduhan cuba memberikan insentif kewangan kepada pemain Bountee Esports untuk tewas dengan sengaja dalam perlawanan MPL MY musim 13.

“Bagi saya benda itu dah terjadi. Apa yang penting bagaimana kita selesaikan perkara berkenaan. Macam saya sebut tadi badan penganjur, pihak pasukan dan pihak yang terlibat mengambil tanggungjawab.

“Semestinya isu begini, kontroversi akan keluar tapi apa yang penting pandangan kami di kementerian adalah bagaimana pemegang taruh urus perkara ini. Kami suka cara mereka uruskannya secara profesional dan uruskan perkara ini.

“Diharapkan ini jadi satu pengajaran yang baik kepada semua dan sentiasa amalkan fair play dalam perlawanan e-sukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan MPL MY aksi pusingan pertama Selangor Red Giants menentang RSG MY di Stadium Majlis Bandaraya Serdang Jaya (MBSJ), Sedang, Selangor pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Operasi MPL MY, Iqbal Krisman mengesahkan bahawa bukti diperolehi selepas pihak penganjur menerima bukti menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan bahawa Dominus didakwa melakukan kesalahan berkenaan.

BACA LAGI: Cuba atur perlawanan MPL, Dominus digantung setahun

WhatsApp Image 2024-04-19 at 18.35.28

Adam Adli (tengah) ketika ketika ditemui selepas perlawanan MPL MY aksi pusingan pertama Selangor Red Giants menentang RSG MY di Stadium MBSJ pada Jumaat.

BACA LAGI: Pengendali Harimau Muda ada ramuan baharu atasi Vietnam

Senada dengan Adam Adli, Iqbal juga bersetuju bahawa isu kontroversi yang berlaku sekitar minggu satu dan dua perlawanan perlu menjadi pengajaran terbesar buat semua pemain industri e-sukan.

“Bukti dari screenshot (tangkap layar) WhatsApp dari pelbagai pihak. Dari Dominus dan pasukan. Untuk memahami apa yang jadi. Selepas lakukan semua proses, kami hadir dengan satu konklusi.

“Dari bukti yang ada dan perbincangan, malangnya memang Domunis sahaja terlibat. Yang lain, tiada membuktikan mereka terlibat.

“Ia tidak jejaskan liga sebab kami ada proses untuk selesaikan isu ini. Seperti yang YB (Adam Adli) kata ini perlu jadi pengajaran untuk semua pemain MPL ataupun luar MPL,” jelasnya.

Susulan itu, Dominus tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan yang dianjurkan Moonton Games bermula 19 April 2024 sehingga 18 April 2025.

Mengikut buku peraturan Moonton (12.2.14), ahli pasukan tidak boleh menawarkan, bersetuju, berpakat atau cuba mempengaruhi keputusan permainan atau perlawanan dengan sebarang cara yang dilarang oleh undang-undang atau peraturan ini.

Untuk rekod, Dominus mula bersaing dalam MPL MY/SG Musim 2 dengan Geek Fam, kekal bersama mereka sehingga Musim 9 apabila mereka tersingkir daripada liga selepas menamatkan saingan di tempat ke-9-10.

Dia kembali dalam MPL MY Musim 13 dengan Bountee Esports selepas pasukan itu memperoleh slot dalam kelayakan MPL MY. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram