[VIDEO] Piala Belia: Aksi tomoi cemari pertembungan Kelantan-Sri Pahang di Pasir Mas


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Tangkap layar daripada rakaman pergaduhan antara pasukan muda Sri Pahang FC dan Kelantan FA dalam pertembungan Piala Belia pada Sabtu.

SUASANA hangat disaksikan dalam satu pertembungan Piala Belia antara Kelantan FA dan Sri Pahang FC di Stadium Mini Pasir Mas, Kelantan pada Sabtu.

Dalam sebuah video dimuat naik di akaun Facebook Info Masyarakat Kelantan, kelihatan pemain kedua-dua pasukan bertengkar kira-kira enam minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca sebenar kekecohan berkenaan, namun kekasaran boleh dianggap sebagai antara faktor memandangkan terdapatnya seorang pemain Sri Pahang cedera di atas padang.

BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia

BACA LAGI: Sepanyol berisiko didenda lebih RM151,000 gara-gara Lamine Yamal

Isu tersebut menyaksikan pemain bertengkar antara satu sama lain dengan ada daripada mereka bercakaran sehingga mendesak rakan sepasukan masing-masing cuba meleraikan keadaan.

Ketegangan tidak terhenti di situ apabila terdapat tindakan untuk menghangatkan lagi keadaan selepas pengadil mengambil keputusan melayangkan kad merah terhadap bek Pahang, Nur Aiman Syahmi Sahizan dan pemain Kelantan, Amri Hakim Azmi.

Namun, tindakan segera daripada beberapa pemain lain serta staf kejurulatihan skuad muda Tok Gajah menyaksikan keadaan dapat dikawal sebelum permainan diteruskan.

Ketika ini, Kelantan FA yang dikendalikan Rosdi Asha'ari berada di kedudukan ketiga Kumpulan A Piala Belia sementara Sri Pahang FC di tangga kelapan.

Tetapi, kedudukan semasa itu masih belum dikemas kini memandangkan perlawanan antara kedua-dua pasukan berkenaan berlangsung pada Sabtu petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram