'Syed Saddiq didapati tidak buat pusingan U', Exco Johor minta penganjur senarai hitam peserta menipu


  • Primer
  • Rabu, 10 Jul 2024

Hairi (tengah) berkata, pihaknya mengambil serius berhubung insiden penipuan dalam mana-mana acara sukan kerana ia berpotensi menjejaskan imej negeri. — Facebook/HairiMadShah

EXCO Belia dan Sukan Johor, Hairi Mad Shah meminta penganjur acara sukan untuk menyenarai hitam peserta yang dikenal pasti melakukan penipuan dalam mana-mana pertandingan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius berhubung insiden penipuan dalam mana-mana acara sukan kerana ia berpotensi menjejaskan imej negeri.

Hairi berkata demikian ketika mengulas mengenai kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu acara triatlon di Desaru, Sabtu lalu.

BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya

BACA LAGI: Dapat tajaan hampir RM10 juta, institusi perbankan hampir pasti penaja utama Sang Kenari?

"Selaku Exco Belia dan Sukan negeri Johor, saya mengambil serius perkara ini dan meminta mana-mana pihak penganjur atau acara pertandingan sukan, khususnya acara besar dan bertaraf antarabangsa untuk menyenarai hitam peserta yang terbukti melakukan penipuan dalam pertandingan.

"Ini bagi memastikan kredibiliti penganjuran acara berkenaan tidak terjejas oleh insiden-insiden seperti ini, dan pada masa sama Kerajaan Negeri Johor yang menyokong acara seperti ini juga boleh terpalit sama dengan dakwaan atau isu integriti pengadilan dalam penganjuran sukan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Syed Saddiq secara terbuka memohon maaf atas isu berkaitan Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 di Desaru, Johor pada 7 Julai lalu.

Saddiq menerima kecaman hebat daripada warga maya selepas dia dikatakan 'main tipu' hingga berjaya menamatkan saingan di kedudukan podium.

Pada masa sama, semakan semula dibuat oleh penganjur kemudiannya mengubah kedudukan masa Saddiq bertukar menjadi Did Not Finish (DNF) atau tidak menamatkan perlumbaan.

Pihak penganjur turut mengakui berlaku kesilapan di bahagian mereka. Oleh itu, mereka bersetuju untuk meletakkan status Saddiq sebagai DNF.

2793463

Syed Saddiq mengakui berlaku kesilapan pada catatan masanya pada Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113.

Mengulas lanjut, Hairi berkata, pihaknya sudah membuat semakan dengan penganjur acara yang disertai Syed Saddiq.

“Menurut pihak penganjur 113 Triathlon Desaru 2024, Syed Saddiq dikatakan tidak membuat pusingan U mengikut laluan ditetapkan dan penyertaan Ahli Parlimen Muar itu diisytihar sebagai DNF (Did Not Finish),” katanya.

Dalam pada itu, Hairi berkata, semua penggiat dan penggerak komuniti sukan perlu memastikan perkara ini tidak berulang bagi meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, imej kerajaan negeri juga boleh terpalit ekoran insiden sedemikian.

“Saya tidak mempunyai masalah berkenaan penyertaan dan kebolehan mana-mana pihak untuk menyertai sebarang acara sukan khususnya yang dianjurkan di Johor.

“Namun sekali lagi saya ingin tegaskan, isu integriti dan penipuan adalah satu perkara yang serius dan tidak akan diberikan kompromi,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram