Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia


  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Perlis United sebelum ini dinafikan tempat ke Liga Super. — Perlis United FC

SELEPAS usaha untuk melayakkan diri ke Liga Super gagal untuk direalisasikan kelab dari Utara iaitu Perlis United FC, kini nasib mereka semakin tidak menyebelahi pasukan tersebut.

Sebelum ini, Perlis gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan daripada Malaysian Football League (MFL) sekali gus ia telah menafikan tempat mereka menjadi kelab ke-14 bersaing dalam Liga Super 2024/2025.

Kini, Singa Utara dilihat akan menarik diri daripada satu lagi pertandingan domestik yang sering menjadi rebutan kelab-kelab di Malaysia iaitu Piala Belia.

Perlis dikatakan telah menulis surat kepada penganjur Piala Belia iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai hasrat mereka menarik diri daripada kejohanan itu.

Dalam surat tersebut, pengurusan Perlis yang diwakili oleh presiden mereka, Shukri Othman mengatakan kepada FAM yang faktor kewangan menjadi punca utama kenapa dia memilih untuk tidak bersaing dalam Piala Belia.

"Adalah dimaklumkan bahawa Perlis United FC ingin menyatakan hasrat untuk tidak mengambil bahagian dalam pertandingan Piala Belia 2024.

"Pihak kami terpaksa membuat keputusan ini disebabkan faktor kewangan dan faktor kegagalan kelab mendapatkan lesen daripada MFL bagi bertanding dalam Liga Super 2024," kata Perlis dalam surat tersebut.

BACA LAGI: Tunggakan gaji selesai, dua pemain bakal kembali ke KL City

WhatsApp Image 2024-03-29 at 20.32.09

Surat menunjukkan Perlis United tidak akan sertai Piala Belia 2024.

BACA LAGI: Sasar top 6, kapten Perak optimis taruhan muka baharu boleh bantu capai KPI

Sebelum ini, Perlis dikatakan mempunyai dana sebanyak RM25 juta untuk membolehkan mereka bersaing dalam Liga Super. Namun begitu, dana tersebut tidak dapat diwujudkan lalu memaksa kelab itu menarik diri.

Kini dengan penarik diri daripada Liga Super serta Piala Belia, menguatkan lagi spekulasi Perlis bakal meneruskan perjuangan mereka dalam Liga M3 musim ini seperti yang disertai mereka musim lalu.

Keputusan itu dilihat lebih baik berbanding mereka cuba-cuba juga untuk menyertai Liga Super tetapi kemudiannya mengalami masalah kewangan ketika pertengahan musim seperti yang dialami beberapa kelab pada musim 2023 seperti Kelantan FC, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram