Sampai muntah tepi jalan, anak Sabah harungi cabaran berbaju tradisional sambil berbasikal sejauh 60 km


  • Hobi
  • Khamis, 02 Mei 2024

Steve Mositun mahu menggalakkan gaya hidup sihat selain memperagakan pakaian etniknya.

SEORANG anak jati Sabah menonjolkan semangat perayaan Kaamatan dengan memakai pakaian tradisional sambil berbasikal sejauh 60 kilometer (km) dari Tamparuli ke Kundasang, Kota Kinabalu.

Dia yang juga Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Steve Mositun berkata, selain mahu menggalakkan gaya hidup sihat, dia ingin memperagakan pakaian etniknya bagi menyemarakkan sambutan Hari Kaamatan.

Menurutnya, idea untuk berbuat demikian tercetus tanpa dirancang lebih awal.

Pada awalnya, Mositun berkata, dia hanya mengikut gerak hatinya untuk memulakan perjalanan tersebut.

“Selama setahun, saya kerap melakukan aktiviti berbasikal dalam masa singkat, namun tidak berkesempatan untuk buat tunggangan yang lama.

“Tetapi pada Ahad lalu, saya tiba-tiba terdetik untuk membuat kayuhan lebih jauh, jadi saya menelefon dua rakan untuk bertanya sama ada mereka mahu berbasikal ke Kundasang,” kata lelaki berusia 40 tahun itu.

BACA LAGI: Hilang lebih 48 jam ketika cari daun palas, warga emas ditemukan meninggal dunia di kebun getah Kampung Guar Sanai

2672402 (1)

Steve Mositun berpakaian tradisional sambil berbasikal sejauh 60 km dari Tamparuli ke Kundasang, Kota Kinabalu, Sabah.

BACA LAGI: 'Ada bayi lahir besar melampau cecah 5kg', ketahui risiko ibu hidap diabetes semasa hamil

Mositun berkata, rakan berbasikalnya, Ariffin Maribin, 44, dan Rayim Sidik, 69, kemudian memilih perjalanan yang lebih panjang iaitu bermula dari Inanam ke Tamparuli untuk bertemu dengannya sebelum mereka bertiga memulakan aktiviti berbasikal ke arah Kundasang.

Ini menjadikan jarak kayuhan basikal yang dilewati rakan-rakannya adalah sejauh 85km.

“Walaupun saya yang paling muda dalam kalangan kami bertiga, tetapi saya tidak dapat mengikuti tahap kecergasan mereka," katanya.

Mereka bertiga memulakan perjalanan pada pukul 7.30 pagi selepas berkumpul di kawasan Tamparuli.

Setelah hampir lapan jam menunggang basikal iaitu pada pukul 3.30 petang, mereka bertiga terpaksa berhenti di pit ketiga kerana berasa tidak sihat.

Mositun berkata, mereka kemudian tiba di Taman Kinabalu yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, Kundasang pada pukul 3.30 petang.

“Cuaca panas merupakan cabaran paling besar dan saya terpaksa mengekalkan kekuatan mental terutama semasa pendakian panjang ke Togol dan Pekan Nabalu.

“Kami bernasib baik kerana pemandu di jalan raya saling memberi laluan kepada kami, tetapi perjalanan kami agak berbahaya apabila treler dan bas panjang melintas,” katanya.

Mositun berkata, sangat penting untuk seseorang memiliki kesediaan mental selain dikelilingi orang yang positif bagi membolehkan perjalanan yang ditempuhi terasa menyenangkan.

"Adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan yang sihat antara kerja, keluarga dan kesihatan.

"Untuk menggalakkan keharmonian dan keamanan di kalangan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhan, saya memakai baju tradisional saya dalam semangat Kaamatan," katanya.

Salah satu perayaan kebudayaan terpenting Sabah ialah perayaan Kaamatan yang dilancarkan secara rasmi pada Rabu di Ranau.

Perayaan Kaamatan kebanyakannya disambut pada bulan Mei oleh masyarakat Kadazandusun, Murut, dan Rungus. TheStar/ Sandra Sokial

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram