Nilai pasaran hanya angka, 3 import bernilai jutaan ringgit bergelut tunjuk taring


  • Podium
  • Khamis, 11 Jul 2024

Dari kiri: Muzungu, Jalil dan Steenvoorden merupakan antara tiga muka baharu Liga Super yang amat bernilai.

NILAI perpindahan merupakan salah satu perkara penting bagi mana-mana pasukan sebelum membawa masuk seorang pemain baik dari dalam mahupun luar negara.

Ini kerana nilai tersebut hanya boleh ditentukan pemerhati sebenar dengan memerhati pelbagai faktor utama, seperti usia dan kontrak semasanya.

Selain itu, perkara berkenaan wajar dijadikan panduan untuk menentukan gaji seseorang pemain, lebih-lebih lagi buat pasukan dengan sumber kewangan kurang kukuh.

BACA LAGI: TFC penggilap sebenar bakat lokal, FH dan duo JDT contoh terbaik

BACA LAGI: Lepak dengan import JDT, Rafael Vitor selangkah ke JDT?

Hal berkenaan turut disaksikan dalam arena bola sepak tanah air kerana sesebuah pasukan Liga Super sering melakukan penilaian awal terhadap nilai pasaran pemain sebelum mendapatkannya.

Tetapi, masih terdapat kemungkinan yang mana nilai itu hanyalah sekadar angka dengan rekrut baharu gagal memberikan persembahan seperti mana diharapkan.

Selain gagal menyesuaikan diri dengan suasana baharu, ada dalam kalangan mereka, terutamanya pemain import bergelut untuk merealisasikan harapan yang diletakkan pihak pengurusan terhadapnya.

Masalah itu turut disaksikan musim ini apabila terdapat tiga import baharu dengan nilai pasaran yang tinggi, namun masih belum menampilkan bakat sebenar di atas padang.

1. Jalil Elias (JDT)

Jendela perpindahan lalu menyaksikan kehangatan dalam kalangan peminat apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa masuk seorang pemain berdarah Argentina, Jalil Elias.

Ini kerana bekas kapten San Lorenzo FC itu memiliki nilai pasaran mencecah RM15.3 juta (€3 juta) dengan ia sekali gus merupakan pemain paling bernilai dalam sejarah Liga Super.

Pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa bersama Syria juga merupakan satu perkara menarik yang pasti mampu membawa skuad Harimau Selatan ke tahap baharu di pentas Asia.

2770834

Masa depan Jalil bersama skuad Harimau Selatan menimbulkan tanda tanya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, selepas menempuhi empat aksi Liga Super dan tiga perlawanan Piala FA, pemain berusia 28 tahun terbabit hanya diturunkan sebanyak sekali.

Perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan Jalil memiliki kebolehan untuk membawa dimensi baharu di bahagian tengah JDT, lebih-lebih lagi di peringkat domestik.

Lebih mengejutkan lagi, timbul pula khabar angin mengatakan pemain terbabit sudah kembali dirisik pasukan lamanya untuk jendela perpindahan akan datang.

Jadi, dengan pemain tersebut masih bergelut untuk membuktikan nilainya, adalah tidak salah untuk meletakkannya dalam senarai pemain berharga yang belum bersinar dalam Liga Super.

2. Chadrack Muzungu (Kelantan Darul Naim)

Harapan besar diletakkan penyokong Kelantan terhadap skuad Kijang Emas memandangkan pasukan itu adalah satu-satunya wakil negeri dalam saingan Liga Super.

Tetapi, selepas mengharungi beberapa perlawanan, prestasi Kelantan Darul Naim (KDN) FC masih belum berada di tahap terbaik dengan hanya satu kemenangan direkodkan.

Kekecewaan sudah tentu diletakkan di bahu pemain import, Chadrack Muzungu memandangkan kemasukannya membawa suasana baharu buat kelab Pantai Timur tersebut.

441311530_892415909564731_1852143631592466697_n

Muzungu (kiri) masih menunggu peluang untuk mencatatkan gol pertama. Facebook/Kelantan Darul Naim

Nilai pasaran mencecah RM2.5 juta (€500,000) yang diletakkan terhadapnya membuatkan penyokong skuad Kijang Emas cukup teruja untuk melihat kemampuannya.

Tetapi, setakat tiga penampilan liga, Muzungu masih belum mencatatkan sebarang jaringan selain gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Sabah FC.

Sekiranya statistik tersebut gagal ditambah baik, terdapat kemungkinan skuad Kijang Emas akan menunjukkannya jalan keluar dan digantikan seseorang dengan nilai pasaran lebih rendah.

3. Matthew Steenvoorden (Terengganu)

Rombakan besar-besaran dilakukan skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan lalu dengan misi besar untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 musim depan.

Perbelanjaan besar tersebut menyaksikan mereka membawa masuk seorang bek tengah import, Matthew Steenvoorden yang mempunyai latar belakang karier cukup berkualiti.

Dia yang pernah beraksi dalam liga Belanda menjadikan nilai pasarannya meningkat dengan ia mencecah RM2.03 juta (€400,000) sebelum dia menyertai pasukan itu.

created by InCollage

Kecederaan menghalang Steenvoorden untuk beraksi buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, pulangan berbaloi masih belum diberikan memandangkan bek tengah itu masih belum mencatatkan sebarang penampilan buat skuad Sang Penyu.

Kecederaan yang dialaminya sebelum ini difahamkan sekali lagi membelanggu sehingga menyaksikan pemain berkenaan disisihkan daripada sebarang perlawanan.

Namun, ketiadaan pemain berusia 31 tahun berkenaan tidak membawa impak cukup besar memandangkan Terengganu FC memiliki lambakan pilihan di bahagian pertahanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram