OKS-Apek sahkan Sabah bebas isu tunggakan gaji. pihak pengurusan umum akan buat sidang media


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Skuad kendalian Kim Swee sebelum ini didakwa mengalami tunggakan gaji mencecah enam bulan. — Facebook/SabahFC

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan bahawa pihak pengurusan The Rhinos telah menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah gaji yang membelenggu kelab berkenaan.

Kemelut dalaman Sang Badak itu semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong dengan ada khabar angin mendakwa bahawa para pemain Sabah FC didakwa mengalami tunggakan gaji sehingga enam bulan.

Rentetan daripada masalah berkenaan, imej pihak pengurusan Sabah FC semakin tercemar dengan penyokong The Rhinos mula menyerang akaun media sosial peribadi mereka dan melempar kata-kata kurang enak.

BACA LAGI: Kim Swee kecewa bahagian penting Sabah FC 'gagal' berfungsi

BACA LAGI: Pengarah Sabah FC pelik kontena luar stadium, fans jawab tempat 'simpan' perosak bola sepak

Tampil menceritakan perkembangan terkini yang berlaku dalam kem Sabah itu, Kim Swee menjelaskan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pengurus pasukan, Rafie Robert sememangnya menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kalau kita lihat apa yang kita baca di media sosial, ada beberapa perkara yang tidak benar. Saya ingin jelaskan semua masalah (tunggakan gaji) yang lepas telah diselesaikan dan disempurnakan Presiden (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pengurus, Rafie Robert.

“Sudah tentu kita ada sedikit kekurangan di mana saya percaya bukan pasukan Sabah saja tetapi kelab-kelab lain turut berdepan rintangan terutama dari segi kewangan," katanya memetik potongan video dari program Nadi Arena.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 11.28.20

Kim Swee atau mesra dengan panggilan OKS sahkan Sabah telah bebas dari isu tunggakan gaji. — Facebook/SabahFC

Tambahnya, pihak pengurusan Sabah FC mempunyai pelan tersendiri sebagai cara bagi memastikan kebajikan semua pemain dan kakitangan The Rhinos terjamin dan terhindar daripada isu tunggakan gaji.

“Ini telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan di mana kita mempunyai jadual-jadual yang memastikan semua pemain dan pegawai menerima hak mereka dan menjaga kebajikan mereka terutama para pemain pasukan Liga Super Sabah FC,” jelasnya.

Selain Kim Swee, Khairul Fahmi Che Mat selaku wakil pemain Sabah turut menafikan isu tunggakan gaji menjadi sebab kekalahan teruk pasukannya di tangan Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala FA minggu lalu.

Pasukan Borneo tanah air berkenaan tersingkir dari saingan Piala FA selepas tewas besar 0-7 secara agregat di tangan Terengganu FC (TFC) dalam pusingan suku akhir baru-baru ini.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 11.28.25 (1)

Khairul Fahmi atau mesra dengan sapaan Apek juga menjelaskan pihak pengurusan sudah menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka. — Facebook/SabahFC

“Itu satu khabar angin yang tidak berasas kerana pihak pengurusan pasukan kami bertindak segera menyelesaikan semua tunggakan,” kata penjaga gol Sang Badak itu, memetik laporan Buletin TV3.

Dalam perkembangan berbeza, Rafie selaku pengurus pasukan dan wakil pihak pengurusan juga difahamkan akan membuat sidang media rasmi bagi menjawab segala isu-isu yang dikaitkan dengan Sabah baru-baru ini.

Sidang media yang dijadualkan akan berlangsung di Padang SAFA Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat ini pasti dibuat selepas desakan dari pihak penyokong Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram