Hardi Jaafar sudah keluar wad, akan terus terima bantuan Yakeb


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Hardi (tengah) menerima sumbangan daripada pihak Yakeb yang menziarahinya di hospital.

BERITA mengejutkan diterima peminat bola sepak tanah air apabila bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar dimasukkan ke hospital berikutan masalah kesihatan.

Menurut perkongsian, pemain yang kini berusia 45 tahun berkenaan mengalami masalah kandungan sel darah putih dan sedikit komplikasi buah pinggang.

Perkara itu disampaikan bekas rakan sepasukannya, Malek Rahman menerusi hantaran di Facebook yang menerima respons daripada orang ramai.

BACA LAGI: Hardi Jaafar kena tahan wad akibat masalah darah putih, komplikasi buah pinggang

BACA LAGI: [VIDEO] Assist 'jahat' Hardi Jaafar gamit rindu penyokong Selangor

WhatsApp Image 2024-07-10 at 12.26.57 PM

Hardi ketika menerima lawatan daripada pihak Yakeb di Hospital UKM.

Malah, keadaan Hardi turut mencuri perhatian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang tampil memberikan bantuan buatnya.

Jadi, dalam usaha menyalurkan bantuan buatnya, beberapa individu penting dalam yayasan itu hadir menziarahi bekas pemain skuad Gergasi Merah berkenaan.

Ini termasuk Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang berkata, keadaan pemain tersebut sudah semakin baik selepas kira-kira seminggu ditahan wad.

"Keadaan Hardi sudah semakin pulih. Kandungan sel darah putihnya juga difahamkan semakin normal dan saya dapat tahu dia sudah keluar hospital pada Jumaat lalu," katanya kepada Majoriti.

Anak jati Ipoh, Perak itu dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur pada 3 Julai selepas didapati mengalami demam panas.

Bagaimanapun, rawatan diterima menyaksikannya sudah berada di keadaan stabil dengan perkembangan tersebut pastinya membawa kelegaan terhadap orang ramai.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 2.40.40 PM

Hardi merupakan seorang pemain kebangsaan yang dihormati satu ketika dahulu.

Dalam pada itu, Noorul turut berkata, pihaknya sempat memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit buat pemain itu selain akan terus menyalurkan bantuan bagi proses pemulihan.

"Yakeb ada bantuan berupa wang tunai sedikit dan jika dia masih memerlukan apa-apa bantuan peralatan hospital atau ubat-ubatan yang perlu dibeli, kami akan membiayainya.

"Kita akan adakan lawatan kerana dia masih ada rawatan susulan dan daripada itu, kita akan tahu sama ada dia sihat atau tidak dan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Sepanjang kariernya, Hardi yang merupakan pemain tengah pernah mewakili beberapa pasukan, seperti Perak FA, Selangor FA serta Telekom Melaka FC.

Pencapaiannya juga boleh dianggap membanggakan kerana dia berjaya menjulang dua gelaran Liga Super dan satu gelaran Piala FA ketika beraksi untuk skuad Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram