SELEPAS bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, menyatakan pendapat mengenai masalah gaji pemain bola sepak di Liga Super Malaysia, kini bekas tonggak Malaysia, Zaquan Adha Abd Razak, turut melemparkan pandangan terhadap perkara tersebut, lapor Stadium Astro.
Ketika semua pasukan boleh dikatakan sedang menarik nafas lega selepas baru saja melepasi pelbagai halangan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Liga Super 2024/2025, siapa sangka ada lagi kisah malang pemain yang tidak dibayar gaji berkumandang.
Terbaharu pemain Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue didakwa sudah tujuh bulan tidak dibayar gaji oleh kelab tersebut sehingga kini.
BACA LAGI: 'Agak sukar untuk MFL betul-betul laksanakan FFP'
BACA LAGI: Lepak dengan import JDT, Rafael Vitor selangkah ke JDT?
Tangkap layar hantaran yang dikongsikan oleh Zaquan.
Pemain berasal dari Brazil itu mendakwa, dia sendiri sebenarnya sudah tidak mengingati bilakah tarikh tepat yang terakhir dirinya dibayar gaji oleh KL City kerana terlalu lama bermain secara percuma untuk kelab tersebut.
Dalam pada itu, bekas pemain Negeri Sembilan FC itu memuat naik satu hantaran di laman Instagram berkenaan isu yang acap kali berulang bagaikan tiada jalan penyelesaian sehingga terpaksa memerah keringat bermain secara sukarela.
Dalam hantaran tersebut, Zaquan mendakwa bahawa kemungkinan besar pemain tidak mampu bersuara dan dia memilih untuk membantu mereka mengutarakan suara sebagai hak pemain bola sepak profesional.
"Inilah jadi bila player tak berani bersuara dan fight pasal gaji, tapi tulah bila bersuara atau fight pasal gaji kau akan terima padah next season, management tak nak ada pemain banyak bersuara atau erti kata lain 'kepala dalam team'.
"Lepas itu akan ada satu term yang player semua kena sign, dalam term itu player tak boleh bersuara atau cakap apa-apa masalah dalam dalaman (contoh isu gaji).
"Lebih baik ada pemain yang fight pasal gaji dan akhirnya masalah gaji selesai daripada pemain berdiam diri dan hadaplah gaji yang berbulan-bulan tak bayar, tu pun kalau bayarlah.
"Macam mana nak jadi champion kalau benda macam ni berulang kali jadi, oh lupa, sekarang banyak kelab tak target champion pun, cukuplah duduk dekat nombor lapan atau sembilan liga.
"Untuk management semua tolonglah cari Board of Directors (BOD) yang tahu pasal bola, janganlah cari BOD yang nak jawatan sahaja tapi bila tanya nama pemain dalam kelab sendiri pun tak tahu siapa," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram