TFC penggilap sebenar bakat lokal, FH dan duo JDT contoh terbaik


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Akhyar (kiri) dan Safawi (kanan) menyerlah di Terengganu FC.

SKUAD Terengganu FC pada musim ini kelihatan cukup menarik. Selain mereka mempunyai pemain-pemain import yang hebat seperti Marin Pilj, Nurillo Tukhtasinov dan Ishamheel Akinade, skuad Penyu juga dibarisi bintang tempatan berkualiti.

Perkara ini dapat dilihat apabila Terengganu mempunyai barisan pemain tempatan yang berkualiti seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid walaupun mereka sekadar pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mereka berdua tidak mempunyai minit yang mencukupi di JDT hinggakan prestasi mereka merudum. Tetapi, perkara itu kelihatan berubah sejak berpindah ke Pantai Timur.

BACA LAGI: Terengganu nafi khabar angin Tomislav Steinbruckner meninggal dunia

BACA LAGI: Kegembiraan Sabah dibayangi kegusaran, perlu lebih kerja keras lawan Terengganu

450354632_467952549279518_2287655854241437588_n

Akhyar (kiri) meraikan golnya ketika berdepan Sabah.

Selepas menyertai Terengganu, prestasi Safawi dilihat meningkat semula dengan dia sudah menjaringkan beberapa gol dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Situasi sama dilihat menerusi Akhyar yang mempunyai permulaan lebih perlahan akibat kecederaan dialaminya selepas disamun pada Mei lalu.

Akhyar akhirnya membuka akaun golnya bersama Terengganu apabila dia menyumbat jaringan semasa berdepan Sabah FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Berjaya menembusi pintu gol Sabah, Akhyar dilihat begitu puas meraikan jaringan tersebut sambil rakan-rakan sepasukan turut mengucapkan tahniah kepadanya.

Dari mata penyokong, dengan peningkatan prestasi Safawi dan Akyhar, menjadikan Terengganu sebagai tempat terbaik menggilap bakat. Sebelum ini, bintang seperti Faisal Halim menyinar bersama-sama skuad Penyu.

1875595

Sebelum ke Selangor, Faisal menyerlah di Terengganu.

"Faisal Halim bersinar kerana Terengganu, Akyhar mula rasa kepuasan diri bersama Terengganu. Safawi mula menemui rentak azali sejak beraksi 90 minit bersama Terengganu. Apa-apa pun bawalah pulang Piala FA ke negeri Terengganu," kata penyokong bernama Izarul Anuar.

"Nampak kepuasan tu, benda tu ada dekat Terengganu je," ujar Mohd Faizal pula.

"Aku rasa kalau tanya Safawi dan Akhyar, mahu tak nak balik JDT dah. Sebab kalau duduk Terengganu boleh main. Sayang bakat masing-masing, Safawi (lepas) dua, tiga perlawanan nampak permainannya datang semula," komen Pak Mat Tempeyek.

Melihat kejayaan Akhyar menjaringkan gol pertamanya untuk Terengganu, penyokong dilihat terus dahagakan pemain bertubuh kecil itu untuk terus menyumbat jaringan.

"Tahniah, harap lepas ni, Akhyar dapat sentiasa sumbat gol dalam perlawanan," kata penyokong bernama Mainor Mainor.

"Dapat satu gol yang penuh bermakna. Tahniah, semoga perlawanan yang berikutnya dapat menambah koleksi gol," komen Mohd Roshid.

Terengganu mara ke separuh akhir Piala FA dan akan berdepan Selangor FC dalam misi ke perlawanan akhir untuk bertemu JDT atau Kedah Darul Aman FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram