Isu gaji bikin bintang Sabah, KL City, Pahang laku macam 'pisang goreng panas'


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Dari kiri: Sabah, Sri Pahang dan KL City FC merupakan tiga kelab Liga Super yang berdepan masalah gaji kritikal ketika ini.

MUAK. Itulah kata yang sesuai untuk menceritakan perasaan penyokong terhadap masalah gaji yang menimpa kelab Liga Super setiap musim.

Masalah itu sekali gus menyaksikan kehadiran penonton ke stadium bagi pasukan yang berdepan isu berkenaan merosot bagi perlawanan demi perlawanan.

Hal terbabit juga pastinya memberi kesan terhadap keyakinan syarikat luar dan dalam negara untuk membuat pelaburan kerana masing-masing gusar akan pulangan yang boleh dijanjikan.

BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya

BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber

450336391_875026984663994_9031328010895931253_n

Ramon mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Impak daripada masalah itu menyaksikan pemain utama pasukan memilih untuk meninggalkan kelab bermasalah kerana sudah tidak dapat bertahan dengan pihak pengurusan masing-masing.

Perkara itu sudah dapat disaksikan ketika Ramon Machado meninggalkan Sabah FC dan Kuvondik Ruziev menamatkan kontrak lebih awal bersama Sri Pahang FC dengan kedua-dua kelab berkenaan berdepan kemelut tersebut.

Keputusan sedemikian pasti tidak akan terhenti di situ memandangkan masih terdapat bintang yang masih setia bersama kelab dengan masalah tunggakan gaji.

Isu berkenaan akan membuka pintu lebih luas buat mana-mana pesaing Liga Super yang berminat dengan khidmat mereka, sekali gus membuat tawaran sukar ditolak.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat pemain berkualiti dari tiga kelab iaitu Kuala Lumpur City (KL) FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC yang boleh disambar pasukan lain sekiranya kemelut itu gagal diselesaikan segera.

1. Saddil Ramdani (Sabah FC)

Sejak mencipta debut buat skuad Sang Badak pada 2021, pemain sayap skuad Garuda, Saddil Ramdani segera mencuri hati penyokong pasukan Borneo itu.

Gerakannya yang sering mengelirukan lawan menjadi kunci utama dalam merencanakan serangan yang membolehkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee cukup digeruni.

Malah, sentuhannya di hadapan pintu gol tidak kurang hebatnya kerana pemain berkenaan sudah merekodkan 16 gol dan 28 bantuan jaringan buat pasukan tersebut.

449281034_869450155221677_1266093227874624954_n

Saddil berkemungkinan meninggalkan skuad Sang Badak pada masa terdekat. Facebook/Sabah FC

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin mengatakan Saddil mula dirisik kelab Liga Super dan luar negara yang cukup berminat dengan khidmatnya.

Usaha mereka seakan-akan semakin mudah pada jendela perpindahan akan datang dengan skuad Sang Badak mengalami isu tunggakan gaji yang amat kritikal.

Selangor FC merupakan destinasi terbaik buat Saddil memandangkan skuad Gergasi Merah sememangnya cukup sinonim dalam membawa masuk seorang pemain import dari Indonesia.

2. Haqimi Azim Rosli (KL City FC)

Penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli berdepan sedikit masalah konsistensi musim lalu apabila dia hanya berjaya mencetak satu gol dan satu bantuan jaringan dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, dengan usianya baru sahaja mencecah 21 tahun, beberapa kelab Liga Super masih menaruh minat untuk mendapatkan khidmatnya pada masa akan datang.

Penang FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan dua pasukan tempatan yang boleh dikatakan mahu menyambar anak jati KL berkenaan melihat kepada bakatnya sebelum ini.

448921169_18268977244237328_1932404688298363151_n

Haqimi sudah bertahun-tahun diburu kelab Liga Super. Facebook/Kuala Lumpur City

Namun, keengganan skuad Warga Kota untuk melepaskan Haqimi menyaksikannya kekal berkhidmat buat pasukan berkenaan dengan pemain itu turut berasa berat dalam mencari haluan berbeza.

Tetapi, keadaan mendesak yang dialami KL City FC musim ini mungkin akan memaksa penyerang Harimau Malaya tersebut meninggalkan pasukan itu demi kebaikan kariernya.

Pilihan utama buat Haqimi sudah tentu JDT yang tidak perlu diceritakan lagi mengenai kemegahan mereka, namun minit permainan sedikit sebanyak akan mendesaknya menyertai skuad Harimau Kumbang.

3. Saiful Jamaluddin (Sri Pahang FC)

Perkhabaran mengenai masalah gaji Sri Pahang FC sedikit sebanyak mengejutkan pelbagai pihak memandangkan kelab itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Tetapi, dengan isu pengurusan tidak diselesaikan, skuad Tok Gajah dilaporkan mengalami isu berkenaan dengan pemain mendedahkan mereka tidak menerima bayaran untuk beberapa bulan.

Jadi, pemain pasukan Pantai Timur tersebut sudah tentu akan mengambil langkah awal mencari kelab baharu apabila jendela perpindahan dibuka kelak.

sesepo_1715677145

Saiful memiliki potensi untuk menjadi seorang pemain tengah berkualiti. Facebook/MFL

Antara yang dijangka berbuat demikian ialah pemain muda, Saiful Jamaluddin dengan bakatnya sebagai seorang pemain tengah mula disedari.

Meskipun stigma anak jati akan membuatkannya berfikir untuk kekal, kegagalan untuk menyelesaikan kemelut gaji akan memaksanya berbuat demikian.

Kelab Pantai Timur seperti Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC merupakan destinasi terbaik berdasarkan usianya yang masih muda.

Walaupun pilihan berkenaan tidak akan menjanjikan lonjakan dalam kariernya, pembayaran gaji konsisten akan membawa manfaat terhadap persembahannya di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram