IA merupakan perkara biasa apabila terdapat perlawanan bola sepak melibatkan pemain di peringkat kanak-kanak atau remaja, ibu bapa akan hadir memberikan sokongan.
Tindakan itu dilihat bagus kerana ia dapat menaikkan motivasi pemain untuk berikan yang terbaik dalam perlawanan.
Namun begitu, ada kalanya sokongan yang sepatutnya membawa aura positif menjadi negatif akibat tindakan berlebihan segelintir ibu bapa.
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa ambil batang besi nak pukul pengadil, anak kena kad merah di Kuala Pilah
Bapak siapakah ini? pic.twitter.com/8BtUYXyxRj
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) July 8, 2024
Itulah yang terjadi baru-baru ini apabila seorang bapa mengambil tindakan luar jangka dengan mendapatkan besi untuk mencederakan pengadil gara-gara anaknya dilayangkan kad merah dalam sebuah perlawanan dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Melihat kepada tindakan tersebut, jurulatih bola sepak akar umbi FC Setia Alam, Shazwan Wong, berpendapat ibu bapa tidak wajar untuk bertindak berlebihan termasuklah tabiat biasa menjadi 'jurulatih' dengan memberikan arahan di tepi padang.
Bagi Shazwan, tindakan tersebut jelas sekali akan menganggu jurulatih dan pemain yang berada di padang serta menconteng arang kepada pasukan terlibat.
"Tidak patut ibu bapa bertindak berlebihan semasa perlawanan. Sebenarnya memberi arahan seperti yg selalu berlaku juga adalah tidak wajar. Sewaktu perlawanan, kita ada pengadil dan jurulatih, jadi ibu bapa tidak perlu masuk campur.
"Sudah pastinya ia menganggu. Bukan sahaja jurulatih yang terganggu malah pemain lain juga akan terganggu dan yang paling teruk adalah perbuatan itu akan memalukan kelab atausekolah," kata Shazwan kepada Majoriti.
Shazwan Wong
Dalam masa yang sama, Shazwan berkata, tindakan ibu bapa yang berlebihan itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada perkembangan bakat pemain. Lebih teruk, ia akan menjadikan pemain tersebut manja.
"Kesan dari tindakan ibu bapa sebegini adalah tiada pembangunan (bakat pemain). Jika ini berlaku, apa mesej yang dihantar oleh ibu bapa tersebut dengan kelakuan sebegini?
"Ia akan menjadikan pemain manja, berasa entitled dan sugarcoat," jelas Shazwan.
Bagi mengelak daripada perkara ini terjadi lagi, Shazwan menasihatkan ibu bapa agar tidak menganggu tugas pengadil dan jurulatih semasa perlawanan.
Tugas mereka hanyalah memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka di padang.
"Nasihat saya, biar pengadil dan jurulatih menjalankan tugas. Tugas ibu bapa seeloknya adalah memberi sokongan, memberi dorongan kepada anak-anak.
"Elakkan memberi provokasi kepada penyokong pihak lawan. Walaupun ada berlaku sedikit ketidakadilan dalam satu-satu perlawanan, biarlah jurulatih yang menyelesaikannya," komen Shazwan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram