'Bola sepak semakin nazak', Pep Guardiola disebut jadi punca kejatuhan


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Corak taktikal Pep Guardiola dianggap punca kenapa bola sepak semakin kurang menarik untuk ditonton.

SUKAN bola sepak dianggap semakin kurang menarik perhatian kerana dilihat terlalu bersistem hingga membunuh nikmat pada permainannya itu.

Pendapat itu semakin popular apabila di kejohanan Euro 2024, majoriti pasukan bertanding memilih untuk terlalu berhati-hati ketika bermain.

Majoriti pasukan lebih gemar bermain secara bertahan dan selamat berbanding mempelbagaikan corak permainan seperti melakukan take ons, rembatan jarak jauh atau skil.

BACA LAGI: Morata merajuk, anggap Euro 2024 penampilan terakhir lepas bantu Sepanyol ke semi

BACA LAGI: Mbappe akui kehilangan bekas bintang Man United punca jentera serangan Perancis tumpul di Euro 2024

Perkara itu disuarakan oleh pempengaruh bola sepak terkenal, Mark Goldbridge. Personaliti bola sepak terkenal yang sinonim dengan Manchester United itu menyuarakan yang bola sepak tidak lagi seindah dulu.

Dalam satu video tular di laman X, Goldbridge berpendapat bola sepak kini semakin membosankan apabila majoriti pasukan mula bermain permainan hantaran-hantaran pendek seperti dilakukan oleh Pep Guardiola.

"Bola sepak kini sedang nazak sebagai sebuah sukan hiburan. 20 tahun lalu, saya sering menonton English Premier League (EPL) dan calon bagi gol terbaik bulanan selalunya hebat-hebat belaka.

"Akan ada pemain menjaringkan gol dengan tendangan voli dari jarak 30 meter, ada pemain yang menggelecek melepasi empat, lima pemain dan kemudiannya menyungkit bola melepasi penjaga gol. Perkara tersebut jarang berlaku sekarang," kata Goldbridge.

gettyimages-2158774665-copy

Euro 2024 dianggap membosankan kerana majoriti pasukan mengamalkan corak taktikal selamat untuk menang.

Goldbridge menyalahkan Guardiola sebagai punca kenapa bola sepak semakin tidak menarik pada hari ini. Dengan corak permainan tersusun tanpa menyerlahkan skil pemain, ia semakin 'membunuh' sukan tersebut.

"Pep Guardiola adalah jurulatih yang bagus tetapi dia bertanggungjawab terhadap kemorosotan bola sepak. Bola sepak kini menjadi sistematik dan berkisarkan mengenai hantaran bola," ujar Goldbridge.

Malah, Goldbridge turut menjadikan Lionel Messi sebagai contoh. Ketika di awal karier, Messi bermain dengan kualiti individu yang tinggi menerusi larian deras, skil menarik serta kualiti gelecekan hebat.

Kini, bola sepak tidak seperti itu. Malah, pemain di awal usia 6, 7 tahun sudah diajar untuk melakukan hantaran pendek berbanding bermain penuh kebebasan seperti dilakukan oleh Messi pada sebelum ini.

"Pemain di peringkat kanak-kanak dihalang daripada bermain seperti Messi kerana mereka terpaksa melakukan hantaran-hantaran pendek dan memastikan sistem berada dalam keadaan betul," komen Goldbridge.

Apa yang dikatakan oleh Goldbridge itu turut diakui oleh jurulatih Uruguay iaitu Marcelo Bielsa.

Menurut Bielsa, dalam masa beberapa tahun akan datang, bola sepak akan menjadi semakin membosankan dan jumlah perlawanan yang menarik untuk ditonton akan berkurangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram