BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad berkata pemain Kuala Lumpur City FC menjadi mangsa permainan politik sesetengah pihak.
Ia dapat dilihat selepas kem KL City dilihat bergolak dengan isu tunggakan gaji, lebih-lebih lagi apabila ketua pasukan, Paulo Josue mendedahkan dia sudah tidak menerima bayaran selama tujuh bulan.
Dalam sidang media yang diadakan di Komune Living & Wellness, Kuala Lumpur, Khalid mengatakan yang terdapat pelbagai kerenah ditimbulkan oleh 'si polan-si polan' hinggakan pemain menjadi mangsa.
BACA LAGI: Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka — Pemangku Presiden KLFA
BACA LAGI: Pengurusan tertinggi KL City tak tahu gaji tertunggak sampai 7 bulan, tidak dimaklumkan CEO
Masalah gaji pemain KL City sudah lama membarah. — Kuala Lumpur City
"Penaja utama memberikan RM3 juta pertama yang menyelamatkan kelab tetapi dengan syarat saya mesti meletakkan jawatan.
"Selain daripada perletakkan jawatan saya, saya tidak pasti sama ada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri ke, orang lain tapi mereka mempengaruhi DBKL ke, saya tak nak tuduh. Tapi yang dikatakan lagi mana si polan ini tidak menjadi presiden, tak ada lagi duit," ujar Khalid kepada media pada Rabu.
Khalid mengatakan yang duit sememangnya ada untuk diberikan kepada para pemain, namun begitu krisis di pihak atasan menyebabkan ia sukar untuk sampai kepada mereka.
"Duit bukannya tak ada, tapi tak nak release. Saya tak tahulah kenapa, mungkin ada masalah teknikal.
"Tapi benda ni bukannya benda baharu, tapi tiap-tiap tahun terjadi. Sangat bermasalah," ujar Khalid.
Khalid nyata bersimpati dengan nasib para pemain kerana gaji yang tertunggak adalah begitu lama.
Walaupun tertunggak, tetapi mereka masih lagi bermain dengan baik serta berusaha mencari kemenangan buat KL City.
"Bila mana si polan tersebut belum menjadi presiden, mereka akan menekan setiausaha agung iaitu Nokman Mustaffa tanya bila nak buat mesyuarat.
"Saya kasihankan pemain-pemain, dalam keadaan tiada gaji mereka turun ke padang, mereka bermain habis-habisan dan sekarang mereka mempunyai (semangat) terbaik dalam liga.
"Tapi mereka ini macam tiada hati perut, kalau orang lain tak dapat gaji riuh, tapi kalau pemain tak dapat gaji? Macam perkara biasa," ulas Khalid.
Pada Selasa, Pemangku Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani memberitahu Majoriti yang urusan gaji para pemain akan selesai dalam minggu ini.
"Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka, insya-ALLAH. Sebenarnya, duit geran daripada DBKL masih belum diterima.
"Jadi, apabila duit itu sudah diterima, kami akan terus selesaikan tunggakan gaji itu. Saya sudah berikan kata putus, saya mahu dapatkan duit geran itu untuk bayar gaji mereka. Masih terdapat RM4 juta dalam geran DBKL," jawab Sani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram