[VIDEO] Bapa ambil batang besi nak pukul pengadil, anak kena kad merah di Kuala Pilah


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Tangkap layar lelaki terbabit mengangkat batang besi yang berada di tepi padang untuk memukul pengadil.

SEORANG pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan bola sepak di sebuah sekolah dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan hampir menjadi mangsa kekasaran oleh seorang lelaki.

Video yang tular pada Isnin itu dimuat naik oleh pengguna Twitter (X), Ron Kemar dan dikatakan lelaki berkenaan merupakan ayah kepada salah seorang pemain dalam perlawanan bola sepak di sekolah tersebut.

BACA LAGI: Nabil Latpi kurang mengancam, bekas striker Perak antara 3 calon lokal sesuai buat Penang

BACA LAGI: Sambil tunggu 'offer' JDT, CEO Perak FC dedah lepaskan import demi buru striker tajam

"Anak kena kad merah, kau nak ambil batang besi pukul pengadil. Bola Malaysia ini dah lah dah nazak, ada pula orang macam ini jadi enabler kepada anak-anak tunjuk perangai tidak semenggah.

"P****k betul mak bapa macam ini. Kalau aku jadi jurulatih, aku halau keluar sahaja pemain itu. Menyusahkan," kata pengguna X itu yang mengkritik tindakan tidak profesional lelaki berkenaan.

Berdasarkan klip berdurasi satu minit 28 saat itu, lelaki terbabit mengangkat batang besi yang berada di tepi padang dan berjalan menuju ke padang perlawanan untuk memukul pengadil.

Tindakan ayah pemain itu bagaimanapun berjaya dihalang oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas dan batang besi berkenaan juga dirampas dari tangannya.

Selepas anggota Rela itu berhasil menenangkan lelaki berkenaan, dia sekali lagi melakukan provokasi dan dilihat berlaku pertengkaran mulut antaranya dan salah seorang kakitangan pasukan bola yang berada di tepi padang.

Amarah ayah pemain itu bagaimanapun tidak berkesudahan apabila lelaki terbabit sekali lagi mengangkat besi pada penghujung video berkenaan sebelum anggota Rela terpaksa menenangkannya.

Waktu dan tarikh kejadian bagaimanapun tidak dinyatakan pada hantaran berkenaan dengan ia difahamkan berlaku ketika perlawanan sepak membabitkan sekolah sukan.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa mahupun penganjur berkenaan insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram