PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali memuji tindakan bintang Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue tentang keberaniannya menyuarakan isu tunggakan gaji.
Sebelum ini, Josue mendedahkan yang dia dan rakan-rakan di KL City sudah tidak menerima gaji untuk satu tempoh lama dengan pemain tersebut sudah kekeringan poket selama tujuh bulan.
Ia jelas mengejutkan kerana dengan sudah lebih setengah tahun tidak menerima gaji, tetapi Josue masih memberikan persembahan terbaik serta bertindak profesional.
BACA LAGI: Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka — Pemangku Presiden KLFA
BACA LAGI: Pengurusan tertinggi KL City tak tahu gaji tertunggak sampai 7 bulan, tidak dimaklumkan CEO
Dalam siaran di laman Instagramnya, Safee mengatakan tindakan Josue itu menunjukkan dilema dimiliki oleh para pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji.
Pada hematnya, jika pemain menyuarakan hak, mereka dianggap cuba memburukkan imej bola sepak sendiri.
"Bila kami bersuara dikatakan mahu menjatuhkan atau memburukkan imej bola sepak sendiri, tapi bila jadi kes seperti ini, siapa yang mahu dipersalahkan?
"Saya sudah tidak bermain dalam liga, tetapi semangat saya dengan sukan ini tidak akan pudar. Saya tahu perit jerih setiap pemain," kata Safee.
Tangkap layar pendapat Safee berkenaan tindakan Josue. — Instagram/@supersafee_10
Kata Safee, dia sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh badan induk dalam bola sepak negara dan dia mahukan mereka bertindak lebih aktif mengatasi perkara ini.
Bekas penyerang kebangsaan itu mengatakan yang mereka seharusnya bertanggungjawab dengan segala masalah berlaku atau keluar saja daripada bola sepak negara.
"Kami perhatikan dan lihat sahaja apa yang badan induk lakukan. Sila pantau dan buat sesuatu yang lebih proaktif dalam menangani bab ini. Banyak lagi kelab yang gagal dalam bab gaji.
"Sila ambil tanggungjawab atau keluar dari sukan ini. Dalam hidup, anda mempunyai pilihan yang boleh dipilih," ujar Safee.
Josue sudah tujuh bulan tidak menerima gaji. — Kuala Lumpur City
Majoriti difahamkan pihak PFAM tidak menerima sebarang aduan daripada pemain-pemain KL City berkenaan isu tunggakan gaji dihadapi mereka.
Malah, kesatuan sekerja bagi pemain bola sepak di Malaysia itu tidak mengetahui permasalahan dialami kelab Lembah Klang tersebut.
Sepertinya, permasalahan di KL City disimpan rapi oleh pemain dan pengurusan walaupun terdapat cakap-cakap mengenainya sebelum ini sehinggalah Josue mendedahkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram