PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menjelaskan isu tunggakan gaji dialami KL City FC akan cuba diselesaikan pada minggu ini.
Menurutnya, laporan penuh mengenai perkara itu masih belum diterima, namun usaha untuk melangsaikan hutang kepada pemain dan staf pengurusan bakal diteruskan.
"Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka, insya-ALLAh. Sebenarnya, duit geran daripada Dewan Bandaraya KL (DBKL) masih belum diterima.
"Jadi, apabila duit itu sudah diterima, kami akan terus selesaikan tunggakan gaji itu. Saya sudah berikan kata putus, saya mahu dapatkan duit geran itu untuk bayar gaji mereka. Masih terdapat RM4 juta dalam geran DBKL," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Kerjasama pelbagai pihak wajar elak isu gaji KL City terus berulang — Legenda KL
BACA LAGI: Ketepi isu luar padang, tonggak KL City anggap ujian sebagai motivasi berdepan Sang Penyu
Abdullah Sani menegaskan pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian segera.
Sebelum ini, kapten skuad Warga Kota, Paulo Josue mendedahkan dirinya tidak menerima bayaran gaji untuk tujuh bulan dengan kali terakhir dia menerimanya pada Disember tahun lalu.
Pendedahan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak memandangkan KL City FC memiliki potensi cerah untuk mendapatkan penaja kukuh.
Di samping itu, penyokong tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan kelab kerana isu tunggakan gaji pernah dialami mereka tahun lalu, sekali gus membuktikan tiada usaha diambil untuk mengelaknya daripada berulang.
Dalam pada itu, Abdullah Sani turut berkata, laporan yang menyatakan pemain skuad Warga Kota berdepan masalah tersebut tidak diterima kerana ia berada di luar bidang kuasanya.
"Perkara tersebut diuruskan KL City FC, saya hanya berada di bawah KLFA. Saya akan cuba selesaikannya pada minggu ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram