'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Liga Malaysia musim ini membenarkan kelab yang beraksi di pentas antarabangsa mendaftar sehingga 10 pemain import.

KEMELUT masalah tunggakan gaji Liga Malaysia (Liga M) semakin parah apabila beberapa pasukan Liga Super dikhabarkan tidak melunaskan pembayaran terhadap pemain mereka.

Beberapa pasukan telah pun dikaitkan dengan masalah tersebut dengan lebih dua buah pasukan Liga Super sedang mengalami isu yang saban tahun menjadi topik utama peminat bola sepak.

Disebabkan masalah itu timbul satu solusi oleh peminat tanah air agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengurangkan kuota pemain import dalam Liga M.

BACA LAGI: Dapat tajaan hampir RM10 juta, institusi perbankan hampir pasti penaja utama Sang Kenari?

BACA LAGI: Pengarah Sabah FC pelik kontena luar stadium, fans jawab tempat 'simpan' perosak bola sepak

Namun lain pula pandangan bekas pemain kebangsaan, Mohd Reduan Abdullah yang menuntut agar pihak pengurusan pasukan lebih berkerja keras untuk mencari dana bagi menampung keperluan pasukan.

Menurutnya pengurangan kuota pemain import bukanlah masalah yang boleh menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi rata-rata pasukan dalam Liga M.

"Minta maaf untuk saya bercakap sebegini, tetapi pemain tempatan pun kita tak bayar gaji bukan sahaja import.

"Bukan kita nak menyalahkan pemain import, kalau mereka (import) tak ada pun kita masih tak bayar gaji.

"Pihak pengurusan perlu ada perancangan, kalau untuk tahun depan. Tahun ini kita dah perlu sediakan bajet.

"Menjadi persoalan adakah bajet itu ada? Atau sekadar kita ambil pemain, baru nila semua kedudukan kewangan?" katanya kepada Majoriti.

Reduan

Reduan Abdullah pernah membimbing UiTM United pada 2021.

Reduan yang pernah membimbing beberapa pasukan dalam Liga M turut berkongsi pengalamannya dalam mencari pemain import tanpa memberi kesan melampau pada kedudukan kewangan.

"Kalau kita nak ambil enam import pun, kita ada tak duit untuk bayar pemain itu.

"Kita ambil contoh macam saya dulu jika import minta tinggi, tak mampu bayar kami tak teruskan perbincangan.

"Kerana kita itu bajet utnuk seorang import dalam tiga ke empat ribu USD sahaja, ada yang dua ribu, tak banyak.

"Masa itu tiada masalah gaji, tepat hari masuk gaji memang dah ada duit," jelasnya.

449847078_1032421515065169_8969255130700924517_n

Penang antara pasukan yang menggunakan empat pemain import musim ini.

Bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya itu juga mahu pihak pengurusan mengambil pendekatan beberapa kelab yang tidak menggunakan banyak import demi menjaga kewangan pasukan.

"Harap pihak pengurusan dapat mengukur baju di badan sendiri dengan mengambil contoh beberapa pasukan yang menggunakan tiga ke empat import sahaja.

"Seperti contoh sebuah pasukan di Utara, mereka hanya mengambil tiga ke empat import yang mampu dibayar oleh pihak pengurusan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram