SEJAK memperkenalkan diri dalam arena bola sepak tanah air, Sergio Ezequiel Aguero terus menjadi sebutan kerana nama pemain itu seakan-akan bekas bintang Manchester City, Sergio Kun Aguero.
Dia yang memulakan kariernya dalam Liga Malaysia bersama Melaka United tidak menunggu lama untuk membuktikan dirinya memiliki tarikan tersendiri dan bukan sahaja kerana panggilannya itu.
Kebolehannya untuk beraksi di beberapa posisi seperti penyerang dan pemain tengah merupakan salah satu kualiti yang sering ditonjolkannya di atas padang.
BACA LAGI: Saya pelik Pahang ada masalah gaji — Gopi Rizqi
BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber
Sergio Aguero merupakan penyerang sensasi Manchester City beberapa tahun lalu. — Agensi
Selain itu, kesungguhannya untuk membantu pasukan juga sering dipuji sehingga kelab semasanya, Sri Pahang FC tampil memberikan kepercayaan menjadi kapten kepadanya.
Tidak cukup dengan itu, Aguero yang sudah berada dalam arena bola sepak tanah air sejak 2017 turut diberikan status naturalisasi yang membolehkannya beraksi untuk Harimau Malaya.
Kesempatan diberikan itu tidak disia-siakan kerana pemain berusia 30 tahun berkenaan cukup bersungguh-sungguh dalam membuktikan semangat cintanya terhadap negara.
"Saya bersama isteri sudah berada di Malaysia selama kira-kira lapan tahun dan kedua-dua anak saya dilahirkan di sini, kami amat gembira di sini.
Aguero memulakan kariernya dalam Liga Malaysia bersama Melaka United.
"Jadi, apabila saya menerima peluang untuk menjadi warganegara dan mewakili skuad kebangsaan, ia adalah keputusan mudah untuk diambil," katanya kepada FIFA.
Setakat ini, kapten skuad Tok Gajah berkenaan sudah merekodkan 10 penampilan bersama Harimau Malaya dengan dua gol sudah dijaringkannya.
Bagaimanapun, dengan lambakan pilihan buat Kim Pan-gon, Aguero sering disisihkan daripada senarai panggilan atau hanya memanaskan bangku simpanan.
Namun, sekiranya diberikan peluang, pemain kelahiran Sepanyol itu akan memberikan usaha terbaik dalam misi membantu pasukannya meraih kemenangan.
Aguero memikul peranan sebagai kapten skuad Tok Gajah sejak musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Ini dapat disaksikan dalam perlawanan terakhir Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikannya dimasukkan sebagai pemain simpanan ketika pasukan negara menundukkan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Kami merekodkan satu kempen yang cukup baik. Ada pasukan lain yang mengutip tujuh, lapan mata dan layak. Tetapi, bagi kami, 10 mata masih belum mencukupi.
"Tetapi, kami berpuas hati dengan persembahan kami yang sudah bertambah baik dan menunjukkan peningkatan selain memiliki potensi amat baik.
"Pelan jangka pendek saya adalah untuk terus membantu Sri Pahang FC memenangi trofi. Untuk jangka masa panjang pula, saya mahu meningkatkan mutu bola sepak di Malaysia, termasuk dari segi ranking FIFA," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram