PELARIAN Rohingya di Malaysia kini semakin mendapat kepercayaan dalam kalangan warga asing apabila segelintir daripada mereka sanggup bekerja 'makan gaji' di bawah telunjuk kumpulan etnik tersebut.
Meskipun sekadar bekerja sebagai pencuci kereta, golongan dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu lebih gemar berkhidmat bersama mereka berbanding warga tempatan.
Perkara itu terbongkar menerusi tinjauan Majoriti di sebuah premis cuci kereta sekitar Klang, Selangor baru-baru ini yang jelas menimbulkan 1,001 persoalan masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura salah rumah, pasangan Rohingya tersengih kena sergah 'owner' di Seremban
BACA LAGI: Rohingya jadi tauke 'car wash', siap upah pekerja warga asing jadi kuli di Klang
Lebih mengejutkan, kumpulan pelarian itu kini mampu membayar pekerja warga asing dari negara lain yang sekali gus menjadikan diri mereka sebagai 'tauke' dalam perniagaan tersebut.
Seorang lelaki warga Nepal dikenali sebagai Morshed, 29, berkata, perlindungan dari segi keselamatan dan tempat tinggal merupakan faktor dia sanggup bekerja di bawah kumpulan pelarian tersebut.
"Tinggal Malaysia agak bahaya, kurang selamat sebab saya orang Nepal, kerja dengan Rohingya lebih selamat.
"Makan, tempat tinggal semua kami duduk beramai-ramai, selesa dengan kawan warga asing.
"Jimat, kami masak bersama dan makanan sama-sama suka walaupun negara berlainan," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, seorang lagi pekerja warga Myanmar mendakwa, dia dan rakan-rakannya lebih gemar bekerja bersama golongan pendatang kerana tidak dihina dan diganggu warga tempatan.
Enggan namanya didedahkan, individu berusia lingkungan 30-an itu menganggap kehadiran mereka di negara ini kurang disenangi dan sering dipandang rendah walaupun sekadar pekerja bawahan.
"Malaysia susah terima kami pendatang asing, kerja biasa tapi ramai tak suka, hina kami.
"Saya selesa kerja dengan warga asing tak kira Rohingya, Bangladesh atau Nepal, semua lebih faham, senang berbahasa sesama kami," ujarnya.
Warga Rohingya menjalankan perniagaan mencuci kereta.
Dalam pada itu, warga Rohingya yang juga merupakan pemilik premis mencuci kereta itu berkata, perniagaan dijalankan mendapat sambutan ramai penduduk tempatan dan ia semakin berkembang sejak mula beroperasi sekitar November tahun lalu.
Menganggap ia sebagai salah satu cara membantu warga asing lain mendapatkan pekerjaan, kebanyakan pekerjanya merupakan warga Indonesia, Myanmar dan Nepal.
Jelasnya, perniagaan dijalankan secara kecil-kecilan bermula daripada warga tempatan namun, mula mengambil alih selepas bekas majikannya berpindah ke lokasi lain.
Ketika disoal tentang lesen perniagaan dan taraf warganegara pekerjanya, individu berkenaan hanya berdiam diri dan terus mengelak daripada ditanya lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram