SAHAM bekas penyerang sensasi Sabah FC, Ramon Machado semakin meningkat selepas import kelahiran Brazil itu mengucapkan selamat tinggal kepada The Rhinos pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu lalu.
Pemergian Ramon bagaimanapun tidak ditutup dengan pengakhiran yang gembira susulan penyingkiran Sabah dari saingan Piala FA selepas tewas besar 0-7 secara agregat di tangan Terengganu FC dalam pusingan suku akhir baru-baru ini.
Walaupun penyerang berusia 33 tahun berkenaan tidak berhasil mencetak sebarang gol dalam perlawanan terakhirnya itu namun Ramon masih berupaya menarik minat beberapa pasukan Liga Super.
BACA LAGI: Pengurus dakwa Sabah tak ada isu tunggak gaji 6 bulan, tapi fans cabar buat kenyataan terbuka
BACA LAGI: Pengarah Sabah FC pelik kontena luar stadium, fans jawab tempat 'simpan' perosak bola sepak
Berdasarkan khabar angin mengenai hala tuju Ramon selepas ini, penyerang tengah berpengalaman di liga Brazil dan Jerman itu dikatakan sedang menjadi rebutan pasukan Selangor FC, Perak FC dan Penang FC.
Antara tiga pasukan itu, Gergasi Merah antara yang terawal dikatakan berminat untuk menerbangkan Ramon ke Lembah Klang namun keinginan Penang dan Perak boleh mengatasi Selangor mendapatkan Ramon.
Jika diteliti dari segi bajet pasukan, minit permainan dan persaingan, Ramon lagi sempurna bersama Penang berikutan Harimau Kumbang mampu menyediakan semuanya untuk pemain berketinggian 1.80 meter itu.
Tidak dinafikan Selangor mempunyai kewangan yang jauh lebih kukuh daripada Harimau Kumbang namun kedalaman skuad Gergasi Merah tidak akan memberi jaminan Ramon mampu menyerlah sebagai penyerang.
Ronnie merupakan penyerang utama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Bahagian serangan Selangor kini mempunyai terlalu banyak pilihan dengan mereka mempunyai Ronnie Fernandez dan Reziq Bani Hani bersilih ganti memikul tanggungjawab sebagai penyerang tengah.
Jika mahu beraksi di bahagian sayap sekali pun, Ramon mungkin terpaksa bersaing dengan Alvin Fortes, Mukhairi Ajmal dan Faisal Halim yang dijangka akan kembali beraksi bersama pasukan kendalian Nidzam Jamil.
Manakala, Perak pula secara amnya mampu memberi kepuasan dari segi mini permainan dek pasukan The Bos Gaurus (TBG) tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan susulan hanya mengharapkan pemain import, Clayton yang masih belum membuka akaun jaringan.
Namun begitu, kewangan pasukan kendalian Yusri Che Lah itu pula boleh menjadi faktor Ramon menolaknya kerana TBG sebelum ini turut dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji kira-kira sebulan.
Persembahan Rodrygo (kiri) bersama Penang masih belum menggembirakan penyokong Penang FC. — Facebook/PenangFC
Berbeza dengan Penang FC, pasukan berkenaan setakat ini masih bersih dari khabar angin mengenai masalah kewangan dan peluang untuk Ramon menyerlah sebagai penyerang tengah juga terjamin.
Masakan tidak, penyerang import mereka iaitu Rodrygo Dias baru sekadar mencetak satu jaringan sehingga jurulatih Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberi tahu akan mencari pemain baharu di bahagian serangan.
Dengan keadaan Selangor yang tidak memberi jaminan minit permainan dan masalah kewangan Perak, ia boleh membuka peluang untuk Penang FC segera menghubungi ejen Ramon untuk menyelesaikan masalah penyudah mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram