Diserang sakit jantung, Yakeb mahu jumpa abang Akhyar Rashid, kos perubatan ditanggung JDT


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid pernah mencetak jaringan pada Sukan Olimpik 2000 ketika menentang Nepal. — Agensi

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) difahamkan akan bertemu dengan bekas pemain skuad kebangsaan, Rafdi Rashid yang dilaporkan diserang sakit jantung pada Rabu.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Yakeb, Zuhairi Abdul Manaf berkata, yayasan itu akan cuba membantu sebaik mungkin dengan menghubungi Rafdi dan ahli keluarganya untuk melancarkan urusan bekas atlet itu sepanjang rawatan.

"Kami (Yakeb) akan cuba menghubungi saudara Rafdi dan ahli keluarganya berkenaan perkara tersebut," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Majoriti, setakat ini, Rafdi masih belum berdaftar di bawah Yakeb namun pihak Yakeb difahamkan cuba untuk mempercepatkan urusan pendaftaran tersebut.

Di samping itu, hasil semakan Majoriti, adik kepada Rafdi iaitu bekas atlet takraw negara, Rashidah Abdul Rashid mengatakan bahawa setakat ini, perbelanjaan rawatan perubatan abangnya ditanggung oleh Johor Darul Takzim (JDT) yang merupakan majikannya.

Difahamkan ketika ini, Rafdi sedang bertugas sebagai jurulatih untuk pasukan JDT Bawah 15 Tahun.

Rafdi

Rafdi yang ditahan di salah sebuah hospital swasta akibat serangan jantung. — Facebook

Terdahulu, pada Rabu, bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rafdi Rashid difahamkan sedang ditahan di KPJ Healthcare Bhd, Johor akibat diserang sakit jantung.

Perkara tersebut dikongsikan oleh sebuah portal sukan tempatan yang menceritakan bahawa pemain berusia 46 tahun itu difahamkan mengalami serangan jantung.

Hantaran berkenaan jelas mencuri perhatian ramai dengan berserta kapsyen memohon doa daripada rakyat Malaysia agar kembali sihat seperti sedia kala.

Rafdi yang juga abang kepada pemain sayap skuad kebangsaan, Akhyar Rashid sememangnya cukup terkenal dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyarung jersi beberapa pasukan sejak memulakan kariernya dengan Kedah FA ketika itu pada 1998.

Selepas itu, dia juga pernah menyertai kelab-kelab tanah air, seperti Perak FA, Perlis FA dan Sarawak FA.

Selain itu, bekas penyerang legenda Kedah FA era 1990-an itu pernah mewakili skuad negara ke Sukan Olimpik 2000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram