'Nasib baiklah dulu main bola, sekarang ada orang tolong', Yakeb-FAM bantu bekas pemain Perak


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Keadaan Pushpanathan ketika dirawat di Hospital Selayang, Selangor.

'NASIB baiklah dulu main bola, sekarang ada orang tolong'

Demikian luahan perasaan yang digambarkan bekas pemain kebangsaan, S. Pushpanathan selepas baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian usus baru-baru ini di Hospital Selayang, Selangor.

Nama Pushpanathan mungkin kurang dikenali penyokong bola sepak tanah air namun beliau adalah salah seorang wajah utama Harimau Malaya 1980 yang mewakili skuad kebangsaan ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1980.

Pemain kelahiran Taiping, Perak itu mampu bermain pelbagai posisi dengan paling kerap ialah sebagai pertahanan kiri, selain pernah beraksi selaku pertahanan tengah dan kanan, bahagian tengah serta sebagai penyerang.

Beliau yang jarang tercicir sejak dipanggil mewakili negara pada tahun 1976 itu menzahirkan kesyukurannya kerana sumbangannya masih dikenang dan diingati sehingga kini oleh pelbagai pihak.

Pushpanathan atau lebih mesra dengan panggilan Push itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang membantu menguruskan dan menampung rawatannya.

Berkongsi kepada Majoriti, bekas pemain Perak itu menerima ujian tersebut apabila terpaksa menjalani pembedahan di bahagian usus dan kini masih berada di bawah pengawasan doktor.

isi dalam

Pasukan Harimau Malaya Olimpik 1980. — Agensi

Keperitan tersebut bagaimanapun dapat diatasi dengan bantuan dari Yakeb yang mana menghulurkan bantuan perubatan dari segi kewangan dan juga memudahkan urusan sepanjang berada di hospital.

"Baru sahaja sembuh dalam tiga hari lalu. Saya sekarang baru habis pembedahan dan dalam pengawasan doktor. Nasib baiklah dulu main bola dulu, sekarang ada orang tolong sampai sekarang.

"Mereka (Yakeb) masih sudi bantu bekas pemain dan mengingati sumbangan. Jika saya tak kenal mereka, saya mungkin tak dapat bantuan.

"Mereka juga beri saya masuk wad first class lagi yang ini. Datuk Alwi (Ahli Lembaga Yakeb) bagi tahu saya masuk first class tapi saya tak nak sebab di wad biasa boleh nampak matahari dan lebih selesa," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, Ahli Lembaga Pengarah Yakeb, Datuk Mohamed Alwi Abd Rahman yang juga merupakan Ketua Jabatan Pakar, Kecemasan dan Pengurusan Bencana Hospital Selayang menjadi individu penting dalam membantu melancarkan urusannya.

Bekas pemenang Juara Piala Merdeka 1976 dan 1979 itu berkata, Yakeb menghulurkan bantuan perubatan berjumlah RM20,000 kepadanya termasuklah kos rawatan pembedahan lutut sebelum ini.

isi dalam 2

Pushpanathan dan koleksi pingat dan piala lamanya. — Agensi

Selain itu Yakeb, bekas pemenang pingat Sukan SEA 1977 dan 1979 itu juga berkongsi bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga memberi bantuan ketika beliau terpaksa menjalani pembedahan lutut itu.

Mengulas lanjut, Pushpanathan juga berkata, rakan-rakan dari bola sepak seperti Datuk Rajagobal serta sahabat lain tidak putus-putus mengunjung serta memberikan kata-kata semangat sepanjang beliau berada di hospital.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Yakeb, Zuhairi Abdul Manaf berkata, yayasan itu akan cuba membantu sebaik mungkin untuk melancarkan urusan bekas atlet itu sepanjang rawatan.

"Kami menjadi pemudahcara urusan beliau di hospital dan membiayai rawatan di hospital 'out-patient' dan 'in-patient'. Selepas ini, kami akan memberi bantuan susulan mengikut keperluan semasa beliau (Pushpanathan)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram