SABAN tahun, Selangor FC sentiasa mempunyai pelbagai pemain handalan yang menjadi pujaan semua.
Dari tahun ke tahun, pasti akan ada pemain berkualiti yang mewakili jersi terkenal merah kuning milik Selangor. Malah, mereka juga akan bersama-sama berjuang membawa nama negara menerusi skuad Harimau Malaya.
Salah satu daripada nama tersebut adalah Hardi Jaafar. Satu masa dulu, Hardi dikenali sebagai antara pemain handalan yang pernah mewakili Selangor dan Malaysia.
Pemain berkaki kidal itu dikenali sebagai salah seorang bintang yang mempunyai ketajaman dari segi hantaran serta rembatan jarak jauh. Malah, Hardi juga dikenali sebagai pengambil sepakan percuma yang baik.
Hardi (kiri) pernah beraksi bersama-sama skuad kebangsaan. — Agensi
Hardi berkhidmat untuk Selangor selama dua tahun dari tahun 2009 hingga 2011. Ketika itu, dia berjaya membantu Gergasi Merah meraih Liga Super serta Piala FA.
Kini tidak lagi bermain secara profesional. Aksi Hardi di padang masih lagi menjadi kerinduan penyokong Selangor terutamanya magis yang hadir dari kaki kirinya.
Baru-baru ini, Hardi mencuri tumpuan apabila melakukan magis dari kaki kirinya sewaktu perlawanan persahabatan di Subang Jaya, Selangor.
Dalam perlawanan persahabatan antara Selangor Legends menentang SCL XI, Hardi telah melakukan satu bantuan gol 'jahat' hingga berjaya menemui Amirulhadi Zainal.
Hardi melakukan hantaran menggunakan bahagian luar kaki dan berjaya menemui Amirulhadi sebelum ia disudahi dengan bola menggegar jaring.
Magis dilakukan oleh Hardi itu nyat mengulit kenangan penyokong Selangor yang begitu merindukan persembahannya bersama Gergasi Merah.
"Assist tu yang jahat," kata pengguna Instagram bernama @adamxrmxn.
"Hardi Jaafar sempoi main macam zaman muda lagi," komen @fsh.jpg.
"Hardi Jaafar (zaman) prime, wa rindu," luah @lokmanzn_ pula.
Perlawanan melibatkan Selangor Legends dan SCL XI tersebut merupakan sebahagian daripada acara Grand Final untuk Selangor Champions League (SCL) 2023.
Dalam perlawanan akhir SCL 2023, Gombak FA menang 1-0 ke atas Kampung Bharu BOSS FC untuk diangkat sebagai johan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram