MRM mahu terbangkan Kenneth ke Sabah, jumpa anak, isteri terpisah 10 tahun


  • Massa
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Kenneth Low berjaya menghubungi anak dan isterinya setelah menanggung rindu selama 10 tahun.

RINTIHAN bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low yang menanggung rindu kerana sudah 10 tahun tidak bertemu dengan isteri dan anaknya akhirnya terlerai apabila dia dapat berhubung dengan mereka, pada Khamis.

Pendakwah bebas yang juga merupakan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Fung berkata, dia terpanggil untuk membantu Kenneth apabila kisahnya muncul di beberapa media tempatan.

"Kemudian kami cuba untuk mendapatkan nombor telefon Kenneth, mengaturkan pertemuan untuk berjumpa dan membantunya.

"Dari situ, dia juga meminta saya untuk mengajarnya solat dan membimbingnya ajaran islam," katanya kepada Majoriti.

Menurut Firdaus, Kenneth pada Rabu meluahkan kepadanya untuk bertemu kembali dengan isteri dan anaknya yang terpisah.

Kata Firdaus lagi, Kenneth turut memberikan maklumat seperti nama dan gambar anaknya, namun dia tidak memiliki gambar isterinya.

"Jadi saya siar di media sosial untuk mendapatkan perhatian netizen bagi membantu legenda skuasy kita ni bertemu kembali dengan isteri dan anak," katanya.

Firdaus meluahkan kegembiraan kerana pihaknya dapat mengesan isteri dan anak Kenneth dalam masa yang singkat.

"Keesokan paginya (Khamis), selepas siar di Facebook, seorang wanita mengakui dirinya isteri kepada Kenneth telah berhubung dengan pembantu saya.

"Kami mengesahkan identitinya, dan kemudian kami mengaturkan satu panggilan video di pejabat saya antara Kenneth dengan isteri dan anaknya," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Firdaus memaklumkan perkhabaran gembira bahawa bekas juara kebangsaan itu dan pihak MRM bakal terbang ke Sabah dalam masa terdekat untuk bertemu kembali dengan keluarganya.

"Dalam perancangan sekarang ini, kami merancang untuk pergi ke Sabah untuk berjumpa dengan isteri dan anaknya sama ada minggu hadapan atau hujung bulan ini.

"Kami akan berbincang tentang hala tuju semua, apa saja kami (MRM) boleh bantu, kami akan cuba," katanya.

Firdaus turut memberitahu harapannya buat bekas juara kebangsaan itu.

"Saya harap Kenneth kembali sihat, dia dapat aktif semula dalam mengajar, mencurah ilmu dan pengalamannya dalam bidang skuasy kepada generasi baharu.

"Sebagai pengasas MRM, saya berharap agar Kenneth cepat mempelajari agama Islam dan mampu membantunya menjadi Muslim yang baik," katanya.

WhatsApp Image 2023-09-15 at 3.53.03 PM

Sumbangan diberikan buat Kenneth yang disampaikan oleh Ahmad Farhan Fauzi.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada Kenneth kerana mendapat khabar dia mengalami multiple sclerosis, penyakit kronik berkaitan dengan saraf.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahi Kenneth di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Semoga beliau (Kenneth) diberikan kekuatan dan kesembuhan dengan segera," katanya.

Selain Firdaus, turut sama menziarahi Kenneth ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Kenneth yang pernah menduduki ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia, bekerja sebagai tukang cuci, hidup dalam kesusahan dan mengalami masalah kesihatan.

Beliau dipercayai mengalami strok sehingga menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek, selain tidak mempunyai wang untuk melakukan ujian bagi menentukan tahap kerosakan pada otaknya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram