'Pengurusan mesti bersih', Fahmi minta KL City selesai tunggakan gaji pemain


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Paulo mendedahkan dirinya tidak menerima bayaran gaji untuk tujuh bulan dengan kali terakhir dia menerimanya pada Disember tahun lalu.

PENAUNG kelab bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC, Fahmi Fadzil meminta pengurusan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bersikap adil kepada pemain dalam menyelesaikan krisis tunggakan gaji pasukan berkenaan.

Menerusi laporan Sinar Harian, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau sudah cuba membantu dan menyampaikan pandangannya kepada Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat beberapa perkara asas masih gagal untuk diselesaikan.

BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya

BACA LAGI: Dapat tajaan hampir RM10 juta, institusi perbankan hampir pasti penaja utama Sang Kenari?

"Pengurusan mesti bersih. Saya bukan sebahagian daripada majlis eksekutif, saya hanya penaung dan saya hanya membantu tetapi sukar untuk dibantu kalau banyak perkara asas KLFA belum dilaksanakan," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, kapten skuad Warga Kota, Paulo Josue mendedahkan dirinya tidak menerima bayaran gaji untuk tujuh bulan dengan kali terakhir dia menerimanya pada Disember tahun lalu.

Pendedahan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak memandangkan KL City FC memiliki potensi cerah untuk mendapatkan penaja kukuh.

2750434

Penaung kelab bola sepak KL City FC, Fahmi Fadzil

Di samping itu, penyokong tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan kelab kerana isu tunggakan gaji pernah dialami mereka tahun lalu, sekali gus membuktikan tiada usaha diambil untuk mengelaknya daripada berulang.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang dihadapi oleh pemain skuad KL City FC.

"Saya cuba bantu dan saya simpati terhadap pemain KL City. Saya telah berjumpa dengan pemain-pemain (KL City) di dalam bilik persalinan untuk membantu mereka, pada saat-saat mereka hampir relegated (tersingkir) dan tidak dibenarkan ambil pemain import," katanya.

Pada masa sama, Fahmi turut meminta pengurusan KLFA untuk melaksanakan pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan KLFA pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu yang terpalit berkaitan kelab bola sepak itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram