Kegembiraan Sabah dibayangi kegusaran, perlu lebih kerja keras lawan Terengganu


  • Podium
  • Ahad, 16 Jun 2024

Hatrik yang dilakukan Ramon (tengah) dalam aksi menentang KL Rovers meletakkan dia sebagai penjaring terbanyak Piala FA setakat ini. — Facebook/SabahFC

SABAH FC menepati ramalan ke saingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan wakil dari Liga A1 Semi Pro, KL Rovers pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Tidak memandang enteng dengan kemampuan KL Rovers, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menurunkan pemain utama mereka seperti Daniel Ting, Dominic Tan, Stuart Wilkin dan tiga import iaitu Park Tae-su, Saddil Ramdani serta Telmo Castanheira.

Percaturan tersebut sememangnya membuahkan hasil apabila gol pertama Sabah FC datang pada minit ke-17 apabila sepakan percuma yang diambil Saddil Ramdani berjaya membolos gawang pasukan Lembah Klang itu.

BACA LAGI: Tak perlu bimbang lagi khidmat Syihan, KPG ada pilihan anak jati Kedah beraksi cemerlang tepis JDT

BACA LAGI: Piala FA: Bergson 'hilang' dari radar, KDN FC buat penyokong Kelantan lega

10 minit kemudian giliran penyerang dari Brazil, Ramon Machado pula meledak gol pertamanya, menanduk bola melalui hantaran Dominic Tan sebelum babak pertama berakhir untuk gol keduanya dan menyempurnakan hatrik pada minit ke-59.

Pesta gol pasukan Sang Badak diteruskan oleh jaringan dari ketua pasukan Sabah, Park Tae-Su dan pada minit ke-72, Jafri Chew turut mencatatkan nama sebagai penjaring pada malam gemilang The Rhinos.

Manakala, KL Rovers bukannya membawa balik gol saguhati namun sebaliknya KL Rovers terus ditimpa malang apabila Mohd Raffi Nagoorgani menjaringkan gol sendiri pada minit kecederaan untuk gol ketujuh Sabah.

Sabah bagaimanapun dinasihati jangan terlalu selesa dengan kemenangan berkenaan dan sebaiknya melakukan persiapan terbaik untuk menentang pasukan jauh lebih sukar iaitu Terengganu FC (TFC) di pusingan suku akhir nanti.

"Kita tengok nanti lawan Terengganu, kerja keras atau tidak," kata penyokong Sabah FC, Jerung Laut.

"Sabah jangan terlalu gembira dengan kemenangan ini, tugas sukar jumpa Terengganu nanti," bagi penyokong The Rhinos, James Daransun Ginanung.

The Rhinos selepas ini akan berdepan Terengganu pada Jumaat lalu selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-1 menerusi gol dari Safawi Rasid dan tendangan jarak jauh Marin Pilj.

Untuk rekod, pasukan Borneo tanah air hanya sekali merangkul gelaran Piala FA iaitu pada 1995, manakala Terengganu pula dinobatkan sebagai juara kejohanan itu sebanyak dua kali pada 2011 dan 2000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram