Berkali 'ketuk' pintu, tapi Penang masih gagal sumbat bola ke gawang Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Kalamullah menafikan percubaan Penang FC daripada melintasi gol Kedah. — Kedah Darul Aman FC

PENANG FC buntu mencari gol yang diidamkan dalam pertemuan suku akhir kedua Piala FA berdepan Kedah Darul Aman FC yang berakhir dengan kemenangan buat tuan rumah 1-0 menerusi agregat.

Beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Penang melancarkan serangan bertali arus untuk mendapatkan gol bagi menyamakan semula agregat yang didahului Kedah 1-0.

Namun begitu, usaha mereka dikecewakan oleh kualiti penyudah terutamanya daripada Nabil Latpi serta Rodrigo Dias.

BACA LAGI: Ketumpulan penyerang kecewakan Penang FC, Sang Kenari bawa bekalan tipis ke Darul Aman

BACA LAGI: ‘Dari junior sampai senior lemau’, fans Penang tarik ‘handbrake’, mula seru nama YB

Sekali sekala, terdapat juga percubaan mereka dinafikan oleh kawalan kemas oleh penjaga gol Kedah iaitu Kalamullah Al-Hafiz.

Kedah juga mempunyai beberapa peluang dari Sony Norde dan Syafiq Ahmad tetapi tidak berjaya menembusi pintu dikawal oleh Sikh Izhan Nazrel.

Skrip serupa dihasilkan pada separuh masa kedua dengan Penang meneruskan usaha mendapatkan jaringan penyamaan.

Hinggakan pada minit akhir perlawanan, Akmal Rizal mengarahkan pertahanan tengah, Rafael Vitor untuk naik ke atas dan membantu barisan serangan. Tetapi, impaknya cukup sedikit dan Penang sekali lagi melepaskan peluang.

Melihat kepada ketumpulan serangan, penyokong Penang menzahirkan simpati buat Sikh Izhan dan pertahanan yang bermain baik untuk elak daripada dibolosi.

Persembahan Vitor dan Richmond Ankrah antara yang mencuri perhatian pada aksi tersebut.

"Kesian pertahanan dengan penjaga gol, naya lagu ni," kata penyokong bernama Syahir Ghazali.

"Pertahanan dan penjaga gol main bagus dah, kesian dekat depa," ujar Baim Akma pula.

"Penyerang hampeh, penyudah teruk, decision making teragak-agak, apa-apa pun nampaklah peningkatan corak permainan Penang cuma penyudah saja kurang," komen Megat Hafizee.

Kemenangan agregat 1-0 buat Kedah membolehkan mereka ke separuh akhir Piala FA dan akan berdepan Johor Darul Ta'zim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram