KELAB Liga Super, Terengganu FC menafikan dakwaan yang jurulatih mereka iaitu Tomislav Steinbruckner meninggal dunia.
Menurut Berita RTM, kelab tersebut menafikan khabar angin yang mengatakan pengendali dari Croatia itu terbabit dalam kemalangan selepas tersebar gambar palsu pada Rabu.
Pengarah Sukan Terengganu, Zul Fadli Rozi berkata yang Steinbruckner berada dalam keadaan sihat dengan pengendali tersebut berada di padang latihan bagi mempersiapkan skuad Penyu bagi aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Sabah FC, Sabtu ini.
BACA LAGI: 'Perlu tanya Tomi', orang kuat TFC ‘kunci mulut’ situasi semasa Covid-19 Sang Penyu
BACA LAGI: Terengganu beri bayangan bintang pinjaman JDT turun aksi suku akhir Piala FA
Steinbruckner dikatakan turun mengendalikan sesi latihan Terengganu seperti biasa pada Rabu. — Terengganu FC
Tambah Zul Fadli, tindakan penyebaran gambar palsu itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat tidak baik terhadap Terengganu.
Pihak Terengganu begitu kesal dengan penyebaran berita palsu itu kerana bimbang ia boleh menganggu semangat penyokong menjelang aksi menentang Sabah.
Sebelum ini, kem Terengganu dilanda isu selepas sebahagian besar para pemainnya termasuk Steinbruckner dijangkiti Covid-19 sebelum berdepan Sabah pada aksi pertama suku akhir Piala FA.
Namun begitu, hasil persembahan terpuji ditonjolkan skuad Penyu apabila berjaya membenam Sabah 4-0 untuk membawa bekalan selesa ke Borneo pada aksi kedua.
Dengan bekalan selesa dimiliki, Terengganu dilihat tiada masalah untuk memastikan tempat mereka ke separuh akhir terjamin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram